Masjid Imanul Faizin atau dikenali sebagai
Masjid Andalusia di Kampung Padang Kala, Jalan Pasir Puteh mendapat perhatian
ramai kerana keunikan seni bina dan kecantikan yang memukau setiap yang
melihatnya.
Masjid ini mula dibina pada 2020, inspirasi
daripada Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pembiaya masjid, Ibrahim Mat Sin, 68, memang
amat menitikberatkan reka bentuk setiap binaan kubah, tiang mahupun pintu
gerbang masjid agar secara luaran ia menyamai Masjid Sheikh Zayed.
Ibrahim yang juga Pengarah Urusan Kumpulan
Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd. memperuntukan RM7.5 juta untuk membina Masjid
Imanul Faizin yang dibuka pada hari pertama Ramadan 1445 (2024 Masihi) bagi
mengambil keberkatan bulan suci itu.
Selain pintu gerbang, kehadiran lebih 100
kubah besar dan kecil berwarna putih yang sebahagiannya ditempah khas dan
dibeli dari Medan, Indonesia, turut mencuri perhatian pengunjung masjid.
Terdapat lima kubah besar dan lebih 100
kubah kecil yang sebahagianya turut dihasilkan oleh tukang ukir dan pembuat bot
fiber dari Besut, Terengganu, manakala ukiran seperti batu nisan pada bahagian
bumbung sekelilling masjid ditempah daripada pengukir seni kayu tersohor dari
Besut.
Marmar pada lantai dan dinding masjid pula
dibeli dari Turkiye, Mesir dan Oman, manakala karpet seperti corak karpet Raudhah
di Masjid Nabawi pula ditempat daripada kilang di Madinah.