Saturday 24 July 2021

POKOK KEMUNTING CINA SERIKAN LAMAN RUMAH

Pokok bunga kemunting cina sering menjadi pilihan untuk ditanam sebagai hiasan kerana warnanya yang menarik selain tahan lama bagi menyerikan halaman rumah supaya sentiasa kelihatan cantik.

Catharanthus roseus adalah nama saintifiknya dan ia pokok renek yang tergolong dalam famili Apocynaceae. Nama lain kemunting cina ialah vinca, kembang sari cina, pokok tapak dara, pokok janda kedah, pokok rumput jalang dan ros pantai.

Pokok kemunting cina banyak tubuh di kawasan tepi pantai dan kawasan tanah berpasir. Sebab itu ia juga dipanggil ros pantai.

Pokok ini mempunyai ketinggian 60 sentimeter (sm) dengan daun berwarna hijau tua berukuran dua hingga empat sentimeter (sm) yang berbulu di sisi.

Daunnya juga tersusun secara bertentangan, sementara bunganya pula terdiri daripada lima kelopak dan berwarna putih, biru, ungu serta merah jambu.

Penjagaan pokok bunga itu tidak begitu rumit, sekadar memerlukan baja dan pencahayaan mencukupi. Pokok ini boleh dibiakkan secara keratan batang dan secara semaian biji benih.

Batangnya yang berkayu sederhana keras, cepat bertunas jika ditanam secara keratan batang. Ramai orang menanam pokok ini di dalam pasu dan dijadikan sebagai tumbuhan hiasan.

Pokok kemunting cina khasiatnya bagus mengawal darah tinggi. Petik 2 helai daun tersebut kemudian rendam dengan air panas dalam cawan dan tutup cawan tersebut. Apabila sudah suam airnya barulah di minum. Darah akan jadi normal jika selalu kita amalkannya.  

Pokok kemunting cina juga mujarab untuk mengatasi dan merawat kanser. Daun, bunga dan buah dimasukkan dalam mulut dan dikunyah hingga lumat serta ditelan. Air yang terdapat dalam bunga, buah dan daun dapat diserap oleh sel-sel kanser dan mendesak atau menghilangkan sel-sel kanser. 

Rebusan daun dapat mengurangkan sakit haid dan merawat gigitan serangga. 

Pokok kemunting cina mengandungi cantharanthine, leorosine, lochnerine, vindotine, akuamine, vincamine, vinleurosin dan vinrosidin.

Bahan-bahan tersebut dapat mengubati dan merawat pelbagai jenis penyakit. Ia juga mengandungi vinbalistin dan vincristine yang digunakan dalam kimoterapi untuk rawatan kanser. 

Pokok kemunting cina menghasilkan alkaloid vinblastine dan vinkristine yang boleh merawat leukemia dan darah tinggi. 20 gram kemunting cina putih atau merah (yang telah dikeringkan) direbus menggunakan 1000ml air dan diminum airnya dipercayai mengubati penyakit tersebut. 

Pokok kemunting cina dikategorikan sebagai tumbuhan beracun. Ia hanya boleh diambil dalam sukatan yang telah ditentukan dan dibenarkan sahaja. Jangan ambil terlalu banyak pada satu-satu masa.  

Wanita hamil dan sedang menyusukan bayi tidak digalakkan untuk mengamalkan persediaan herba ini. Mereka mengalami masalah buah pinggang dan tekanan darah rendah juga perlu menghindarkan menggunakan kemunting cina.

Walaupun terdapat spesies yang dibezakan oleh warna bunganya namun untuk kegunaan perubatan hanya spesies yang berbunga ungu dan putih (spesies liar) dikatakan mempunyai nilai perubatan yang tinggi.

No comments:

Post a Comment