Tuesday 30 November 2021

CARA MENETAPKAN HUKUM KAEDAH AL-MASALIH AL MURSALAH

Salah satu cara penetapan hukum dalam Islam ialah melalui kaedah al-masalih al-mursalah.

Istilah al-masalih al-mursalah didefinisikan oleh para ulama sebagai kepentingan yang tiada keterangan nas secara langsung sama ada memperakui atau menolaknya.  

Dengan kata lain, pemimpin perlu melakukan satu keputusan untuk menyelesaikan keperluan rakyat sama ada untuk mendapat kebaikan atau mengelak daripada berlaku perkara buruk.

Mengikut kaedah fiqah, tindakan pemimpin atau kerajaan tertakluk kepada masalah rakyat. Kaedah inilah menjadi asas kepada penggunaan al-maslih dan al-mursalah. Memang diakui bahawa hal-hal yang diputuskan berdasarkan kaedah ini tidak terdapat di dalam al-Quran dan al-hadis. 

Namun, bagi kebanyakan ulama berpendapat bahawa mengutamakan kepentingan masyarakat merupakan satu keperluan yang boleh dijadikan dalil hukum.

Namun, hukum itu terbatal jika sekiranya telah ada sesuatu hukum yang jelas telah ditetapkan atau telah nyata perbuatan itu diharamkan.

Berdasarkan kaedah fikah, apabila tidak terdapat dalil dari nas, ijmak, kias atau istihsan untuk menyelesaikan sesuatu isu kepentingan rakyat, maka kepentingan umum boleh dijadikan pegangan hukum.  

Dalam hal ini, penentuan hukum sama ada bertujuan untuk mendapatkan kebaikan atau menghalang sesuatu kemudaratan berlaku atau kedua-duanya sekali adalah untuk kepentingan hidup manusia di dunia dan akhirat.  

Kaedah ini digunakan pakai sepanjang masa kerana keperluannya sentiasa berubah-ubah dan mengikut keadaan semasa. Sesungguhnya kaedah ini bukan perkara baharu, tetapi telah berlaku pada zaman Khalifah Rasyidin lagi. 

Contohnya apa yang dilakukan oleh Uthman Ibn Affan yang telah mengeluarkan fatwa mengenakan zakat terhadap ternakan kuda. Perkara ini bertentangan dengan apa yang diamalkan pada zaman Rasulullah SAW. 

Hujah yang dikemukakan oleh Uthman dalam mengenakan zakat terhadap kuda ialah kerana pada zamannya jumlah kuda telah banyak sehingga dijadikan barang dangangan, berbanding pada zaman Rasulullah SAW yang ketika itu amat diperlukan untuk tujuan digunakan semasa peperangan.

Tindakan Uthman itu dikira termasuk di dalam al-masalih al-mursalah kerana ia tidak bersumberkan kepada mana-mana nas yang khusus. Perlu dijelaskan bahawa zakat kuda tidak disebutkan dalam mana-mana nas.

Hal yang sama sebenarnya menjadi asas kepada kerajaan mengadakan perlbagai peraturan, undang-undang atau hukum yang berkaitan kepada kepentingan umum seperti mengadakan penjara, pusat pemulihan dadah, peraturan lalu lintas, soal kewarganegaraan, berkaitan muamalat, keselamatan negara dan macam-macam perkara lain yang pada dasarnya tidak wujud atau diamalkan pada zaman Rasulullah SAW dan tidak juga dinyatakan dalam mana-mana nas, termasuk al-Quran.

Gambar hiasan: Pantai Kundur, Kota Bharu,

No comments:

Post a Comment