Tuntutan harta sepencarian boleh dibuat semasa tempoh
perkahwinan. Seksyen 23(10)(b) di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam
Negeri-Negeri memperuntukkan bahawa isteri sedia ada mempunyai hak di sisi
undang-undang untuk memohon perintah daripada mahkamah supaya harta sepencarian
dibahagikan terlebih dahulu sebelum permohonan kebenaran atau pengesahan
poligami diluluskan.
Malah Seksyen 119(11) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003
menyebut bahawa sebelum Mahkamah mengesahkan keluar agama, satu perintah untuk
membahagikan harta sepencarian hendaklah dilaksanakan.
Kedua-dua peruntukan tersebut berkaitan dengan permohonan poligami dan juga
keluar agama Islam.
Bagi tuntutan selepas kematian, meskipun tiada peruntukan
khusus yang membolehkan mahkamah membahagikan harta sepencarian sekiranya
akibat kematian, namun fatwa negeri Selangor menjelaskan bahawa jika berlaku
kematian, maka pihak yang hidup boleh memohon pengisytiharan harta sepencarian
sebelum harta itu menjadi harta pusaka. Jadi pihak itu perlu membuktikan bahawa
sebahagian harta itu adalah harta sepencarian.
Kaedah penyelesaian apabila melibatkan harta sepencarian
ialah melalui kaedah sulh iaitu dengan cara berdamai samada melalui pengakuan
dan penyerahan hak pemilikan kepada satu pihak lagi atau nilai harta yang
dipersetujui dibahagi mengikut persetujuan.
Persetujuan ini boleh dibuat samaada di luar mahkamah atau di hadapan pegawai
sulh dan kemudian ianya akan diendors sebagai satu perintah oleh mahkamah.
Kaedah lain adalah melalui persetujuan semasa perbicaraan
sedang berlangsung. Hakim kebiasaannya akan memberi peluang kepada kdua-dua
pihak untuk mencapai persetujuan bersama. Maka persetujuan ini akan diendors
sebagai satu perintah Mahkamah.
Sekiranya kedua-dua kaedah tersebut tidak dapat
menyelesaikan pertikaian, maka mahkamah akan meneliti setiap keterangan dan
penghujahan pihak-pihak. Seterusnya mahkamah akan memutuskan pembahagian harta
sepencarian tersebut melalui perintah mahkamah.
Tuntutan biasanya ditimbulkan oleh isteri atau bekas isteri
apabila membabitkan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkahwinan sama ada
secara tak langsung misalnya urusan menguruskan rumah tangga.
Sumbangan secara langsung misalnya isteri mengeluarkan modal terutama dalam
bentuk kewangan untuk mendapatkan harta dalam tempoh perkahwinan. Begitu juga
jika satu pihak itu meninggal dunia, pasangan akan meminta harta itu
dibahagikan dulu sebagai harta sepencarian sebelum diisytihar sebagai harta
pusaka.
Kitab At-Turuq al-Hukmiyah karya Ibnu Qayyim al-Juziyyah
mengatakan, dalam tuntutan suami isteri membabitkan harta sepencarian, tuntutan
hendaklah berdasarkan keterangan pihak yang membuktikan tuntutan itu.
Pemilikan ke atas sesuatu harta bukan berdasarkan kepada
nama atas harta itu semata-mata kerana nama tertera belum membuktikan dia
pemilik sebenar.
Kenyataan itu dibuat dengan maksud adalah satu kezaliman jika hak milik sesuatu
harta hanya diambil kira berdasarkan nama atas harta itu semata-mata sedangkan
pihak satu lagi mungkin menyumbang cuma namanya tidak dinyatakan ke atas harta
berkenaan.
Rasional keharusan pembahagian harta sepencarian menunjukkan
pengiktirafan syarak terhadap hak, habuan dan pemilikan pihak berusaha
mendapatkan harta itu sepanjang perkahwinan. Hukum harta sepencarian tidak
dinyata secara jelas. Cuma pembahagian itu dibuat bersandarkan kemaslahatan
pihak atas prinsip keadilan dan hak.
Gambar sekadar hiasan

No comments:
Post a Comment