Monday 28 October 2019

KEBAIKAN ISTERI BERKERJA

Penglibatan isteri dalam pekerjaan banyak membantu suami dalam menampung nafkah keluarga. Kehidupan yang semakin kompleks memerlukan sesebuah keluarga menyediakan peruntukan kewangan yang lebih besar. Hal ini tidak mampu ditanggung oleh suami yang berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, dengan penglibatan sama isteri dalam usaha mencari rezeki, beban yang terpaksa ditanggung oleh suami menjadi lebih ringan. Kestabilan ekonomi keluarga kini banyak turut disumbangkan oleh isteri.

Sebenarnya, wanita tidak boleh mengharapkan lelaki sepenuhnya dalam memenuhi keperluan hidup. Banyak keadaan yang mana wanita perlu berusaha sendiri mencari rezeki. Paling tidak ketika mereka belum berkahwin. 

Ibu bapa tidak selama-lamanya dapat menanggung anak yang sudah dewasa dan dapat berdikari. Lebih-lebih lagi keluarga besar yang mempunyai adik beradik masih bersekolah.

Keadaan paling kritikal bagi wanita ialah apabila terpaksa menjadi ibu tunggal. Jika tidak mempunyai pekerjaan sendiri, sudah tentu ibu tunggal tidak mampu menyara anak-anak yang ditinggalkan oleh suami akibat perceraian maupun kematian. 

Bilangan ibu tunggal di negara kita bukan sedikit. Mengikut perangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat kita-kira 831,860 ibu tunggal di seluruh negara, berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010.  

Bancian itu mengklafikasikan ibu tunggal sebagai wanita yang menjadi ketua isi rumah atau balu yang bercerai atau berpisah tetap, dan mempunyai anak yang belum berkahwin dalam isi rumah yang sama. Berdasarkan angka itu, ibu tunggal merupakan 2.9 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

Jika sekatan terhadap wanita bekerja diperkenalkan, siapa yang akan bertanggungjawab terhadap kehidupan ibu tunggal dan anak-anak yang begitu ramai itu. Mereka yang melaungkan seruan agar wanita tidak bekerja tidak pernah memikirkan cara penyelesaian masalah tersebut.

Sesungguhnya bukan sedikit ibu tunggal terpaksa melakukan pelbagai kerja di luar kemampuan dan kerelaan mereka semata-mata demi menuruskan kehidupan menjaga anak-anak. Mereka terpaksa melakukan pekerjaan yang pada dasarnya tidak mampu dilakukan oleh wanita. 

Malah ada yang terdesak sehingga terpaksa melakukan pekerjaan terkutuk menjadi pelacur, menerima rasuah dan sebagainya. Dalam keadaan terlalu terdesak, norma kehidupan tidak diperdulikan lagi.    

Isteri perlu bersedia menghadapi segala kemungkinan dalam perkahwinan. Banyak perkahwinan berakhir dengan perceraian. Isteri menanggung akibat buruk setelah hilang tempat bergantung dan perlindungan. 

Kajian menunjukkan status hidup wanita menjunam sebanyak 36 peratus selepas bercerai. Keadaan ini dapat dikurangkan jika wanita sudah mempunyai pekerjaan. Mereka dapat berdikari dan meneruskan hidup dengan sempurna biarpun terpaksa menanggung perbelanjaan anak-anak. 

Justeru, amat wajar wanita mengambi kesempatan memiliki kerjaya yang sesuai dengan kemampuan masing-masing. Selain membantu meningkatkan ekonomi keluarga, ia sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi kehidupan masa depan yang tidak pasti. Wanita menjadi ibu tunggal bukan berpunca perceraian semata-mata.  

No comments:

Post a Comment