Tugas pemandu pelancong berlesen. Tugas utama pemandu
pelancong berlesen di Malaysia adalah berbeza daripada tugas seorang pemandu
kenderaan pelancongan (pemandu bas, van, atau kereta) biarpun kedua-duanya
terlibat dalam bidang pelancongan.
Berdasarkan garis panduan Kementerian Pelancongan, Seni dan
Budaya (MOTAC), tugas dan tanggungjawab pemandu pelancong berlesen ialah memberi
penerangan dengan menyediakan maklumat yang tepat, menarik, dan berfaedah
mengenai sejarah, budaya, tempat-tempat menarik, serta warisan kepada para
pelancong.
Pemandu pelancong berlesen juga bertanggungjawab menjaga
kebajikan pelancong dengan memastikan keselamatan, keselesaan, dan keperluan
pelancong sepanjang lawatan atau program pelancongan dijaga dengan baik.
Mereka juga bertanggungjawab membantu individu atau kumpulan
pelancong semasa bergerak melalui tarikan pelancongan, muzium, bangunan
bersejarah, atau kawasan semula jadi.
Pemandu pelancong berlesen beroperasi di bawah Akta Industri
Pelancongan 1992 dengan mempunyai lesen sah yang dikeluarkan oleh MOTAC.
