Sunday, 25 October 2020

PEMERINTAH KEKAL FOKUS MEMBANTU RAKYAT

Kerajaan kekal fokus membantu rakyat terutama dalam keadaan gawat ekonomi dan kesihatan yang dialami sekarang ini. 

Datuk Sri Ismail Sabri bin Yaakob, selaku Menteri Kanan (Keselamatan) yang bertindak sebagai jurucakap kepada kabinet sepanjang wabak Covid-19 dalam kiriman di FB menjelaskan Fasa Pertama Bantuan BPN 2.0 akan disalurkan dalam masa terdekat.

Menurut Ismail Sabri, bayaran kali ini akan melibatkan seramai 10.6 juta penerima sedia ada mengikut kategori isi rumah dan individu bujang.

Pengumuman itu jelas membuktikan komitmen kerajaan membantu rakyat. Justeru itu, rakyat pula perlu membalas dengan menjadi warganegara yang sentiasa membantu kerajaan mengekalkan keadaan selamat dan aman.

Sesiapa mengaku Islam mesti cinta perpaduan kerana itu perintah agama. Jika ada perkara tidak berkenan di hati, jangan mudah marah.

Jika kita dilontarkan dengan perkara buruk, tidak semestinya kita membalas dengan keburukan juga. Jadilah seperti pohon kayu yang lebat buahnya. Apabila dibaling dengan batu dibalas dengan buah. 

Ingatlah, Allah SWT melimpahkan rahmat kepada orang yang penyabar dan bersikap lemah lembut.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.” (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Berusahalah untuk kehidupan lebih baik. Anda mampu mengubahnya. Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri berusaha untuk mengubahnya.

Seseorang itu tidak boleh berpeluk tubuh melihat masyarakat dalam kekeliruan. Tuduhan palsu mesti dijelaskan kepalsuannya dan berita fitnah mesti dijelaskan kedustaannya.

Inilah dilakukan Ismail Sabri dalam setiap Sidang Media Harian Covid-19 selaku jurucakap kabinet. Biarpun ada pihak tidak berpuashati atau mencadangkan sidang media itu dihentikan, Ismail Sabri terus fokus melakukan tugas biarpun dilihat dalam kepenatan.

Firman Allah SWT bermaksud: “Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku demikian, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Surah Fushilat, ayat 34)


No comments:

Post a Comment