Dapat pahala haji mabrur jika melawat atau
ziarah kubur ibu bapa? Itu dakwaan pihak tertentu. Baca dan faham huraian
'hadis' ini untuk mengetahui tentang pahala ziarah kubur ibu bapa.
Abu Ahmad Ibnu Adi berkata, “Telah
menceritakan kepada kami Ahmad bin Hafsh as-Sadi, ia berkata, ‘Telah
menceritakan kepada kami Ibrahim bin Musa al-Wazduli, ia berkata, ‘Telah
menceritakan kepada kami Khaqan bin al-Ahtam as-Sadi, ia berkata; ‘Telah
menceritakan kepada kami Abu Muqatil as-Samarqandi, dari Ubaidillah, dari Nafi,
dari Ibnu Umar, ia berkata, Rasulullah SAW bersabda, ‘Barangsiapa menziarahi
kubur ayahnya atau ibunya, atau saudara perempuan ayah atau ibunya, atau salah
seorang kerabatnya, maka ia akan memperoleh pahala haji mabrur. Dan barangsiapa
menziarahi kubur kedua orang tuanya hingga ia meninggal dunia, nescaya para
malaikat akan menziarahi kuburannya.”
‘Hadis’ ini diriwayatkan oleh Ibnu Adi
dalam kitab al-Kamil fi Dhuafa ar-Rijal II/393 no.2260, Ibnul Jauzi dalam kitab
al-Maudhu at III/240 no.1714, dan as-Suyuthi dalam al-La’ali al-Mashnu’ah fî
al-Ahadits al-Maudhi’ah II/440 no.2527, dan lainnya.
Kedudukan hadis.
Hadis ini kedudukannya sangat lemah, kerana pada sanadnya ada seorang perawi bernama
Abu Muqatil as-Samarqandi (Hafsh bin Salm). Dia seorang perawi yang matruk
(ditinggalkan riwayat hadisnya).
- Imam Ibnu Hibban berkata tentangnya, “Abu
Muqatil as-Samarqandi, namanya Hafsh bin Salm, ia seorang yang rajin ibadah,
akan tetapi meriwayatkan hadis-hadis mungkar yang mana (ulama hadis) siapa pun
yang mencatat hadis dapat mengetahui bahawa hadis-hadis yang diriwayatkannya
tidak mempunyai dasar yang dapat dijadikan rujukan.”
- Imam Abdurrahman bin Mahdi berkata,
“Tidak boleh meriwayatkan hadis darinya.” (Lihat al-Majruhin I/256)
- Imam adz-Dzahabi berkata, “Qutaibah
menganggapnya sebagai perawi hadis yang sangat lemah, dan (Abdurrahman) bin
Mahdi mendustakannya.” (Lihat Mizan al-I’tidal I/557).
- Ibnu Hajar berkata, “Waki’ (bin al-Jarrah
al-Kufi) mendustakannya, dan as-Sulaimani mengatakan, bahawa dia termasuk dalam
barisan orang yang memalsukan hadis.” (Lihat Tahdzib At-Tahdzib II/342).
Maka, dakwaan mendapat pahala haji mabrur
jika melawat atau ziarah kubur ibu bapa adalah dusta.
No comments:
Post a Comment