Sunday, 10 May 2026

MAKAM SHEIKH OMAR DIISYTIHAR WARISAN NEGERI

 
Majlis Pengisytiharan Warisan Negeri di Padang Kampung Mengkuang Titi telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Kawasan makam mufti pertama Pulau Pinang, Sheikh Omar Basheer, telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta 645 dan kini dalam proses penilaian untuk pewartaan di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011.

Makam yang terletak di Kampung Melayu, Air Itam ini terkenal dengan seni bina bercirikan Moorish serta merupakan makam umat Islam terbesar dan terindah di Pulau Pinang.

Makam yang terletak di atas tanah wakaf itu berada di bawah pengurusan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dengan pemantauan Jabatan Warisan Negara serta sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (KPSB) .

Pengiktirafan ini diharap dapat mengangkat semula nilai sejarah dan menarik kehadiran pelancong ke negeri ini.

Sheikh Omar seorang guru sufi Naqshabandiah yang dihormati, imam Masjid Acheh, dan pemimpin masyarakat Islam pada akhir abad ke-19.

Beliau sangat disegani oleh masyarakat Muslim dan juga pegawai British kerana sifat warak dan kewibawaannya.

Ketika tercetusnya Rusuhan Pulau Pinang 1867 antara puak Bendera Merah dan Bendera Putih yang bersekutu dengan kongsi gelap Cina (Kian Teik Kongsi & Ghee Hin), Sheikh Omar diminta oleh British untuk menjadi pendamai bagi meredakan pergolakan yang memecahbelahkan komuniti Melayu Islam ketika itu.

Pada 4 Ogos 1867, beliau mengeluarkan fatwa dari kediamannya di Lebuh Acheh, menggesa umat Islam meninggalkan kegiatan kongsi gelap dan menjadi warganegara yang bertanggungjawab.

Atas jasa beliau, Sheikh Omar dilantik sebagai orang Melayu Islam pertama yang menjadi Justice of the Peace oleh pihak British.

Setelah bersara, beliau tinggal di kampungnya di Kampung Melayu, Ayer Itam, dan meninggal dunia di sana.

Anaknya, Sheikh Zachariah, telah mengupah tukang dari India untuk membina makam berkubah yang masih kekal sehingga kini. Makam Sheikh Zachariah turut berada berhampiran makam bapanya.

 

No comments:

Post a Comment