Sunday 13 June 2021

KAJI LONGGAR PKP JIKA KES POSITIF TURUN KEPADA 4,000 KE BAWAH


Kerajaan akan mengkaji kemungkinan untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sekiranya kes positif Covid-19 harian menurun kepada 4,000 ke bawah.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu bagaimanapun tertakluk kepada nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan kerajaan pada masa sama, turut mengadakan mesyuarat khas bertujuan membincangkan pelan keluar daripada pelaksanaan PKP sepenuhnya.

“Berhubung pelaksanaan PKP 3.0, saya dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan bahawa jika kes harian menurun kepada 4,000 sehari, kajian semula terhadap SOP akan dibuat.

“Ini bukan bermakna menamatkan PKP 3.0, tetapi, mungkin kaji semula peraturan yang mana boleh dilonggarkan sedikit dan sebagainya. Ini kerana impaknya hanya akan dapat dilihat selepas 14 hari, kerana itu tempoh masa inkubasi wabak berkenaan.

“Kita berdoa selepas 14 hari kes turun, kita boleh kaji semula SOP yang kita anggap mungkin sedikit ketat. Tetapi, saya tidak boleh janji kerana ia bergantung kepada nasihat daripada Kementerian Kesihatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Hospital Medan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.

No comments:

Post a Comment