Thursday, 21 July 2022

KUBUR TEMPAT MENDAMAIKAN BAGI MEREKA MENGERTI

 
Melihat kawasan perkuburan mendamaikan. Terasa diri semakin hampir dengan kematian. Imej kubur tidak lagi menakutkan. Kawasan bersih dan tersusun elok. Dahulu kawasan kubur dikaitkan dengan imej menakutkan. Kalau lalu kawasan kubur terasa seram kerana jauh dari tempat kediaman dan keadaan pula dipenuhi dengan semak dan belukar. Dengan keadaan kawasan perkuburan yang bersih dan teratur, menggalakkan orang ramai menziarahnya.

Menziarahi tanah perkuburan merupakan satu amalan yang dituntut oleh syarak dan ia adalah satu jalan yang paling berkesan untuk menimbulkan rasa zuhud iaitu meninggalkan keseronokan dunia dan mengingati akan kematian. Ingatlah, kehidupan di dunia ini hanyalah sementara, akhirat jugalah yang kekal abadi.

Menziarahi kubur juga adalah salah satu cara untuk kita mendoakan orang yang telah meninggal dunia sama ada kepada kedua ibu bapa, anak-anak, saudara-mara dan muslimin-muslimat yang telah kembali ke rahmatullah agar mereka sentiasa dilimpahi rahmat dan keampunan daripada Allah SWT.

Sesungguhnya amalan menziarahi kubur mempunyai tujuan dan hikmahnya tersendiri, antaranya adalah supaya dikasihi oleh Allah SWT dengan sebab mengikuti sunah Rasulullah SAW.

Selain itu, ziarah kubur juga dapat mengingati kepada kita asal-usul kejadian kita yang berasal daripada tanah dan kepada tanah juga kita akan dikembalikan. Dengan penghayatan sedemikian, akan mengamit rasa hati dan kesedihan yang akan melahirkan kesedaran untuk melakukan segala suruhan Allah SWT dan menjauhi segala laranganNya.

Akhirnya, marilah kita sama-sama mempersiapkan bekalan untuk menghadapi kematian dan persiapan menuju ke alam barzakh kerana kita tidak mengetahui apakah nasib kita setelah berada di dalamnya.

Oleh itu, tingkatkanlah amal ibadah, carilah keredaannya agar kita mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Mudah-mudahan kesan dari amalan ziarah kubur yang kita lakukan itu dapat memberi keinsafan dan kesedaran kepada kita untuk mengingati akan kematian dan sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.

Semoga ahli kubur dan kita semua mendapat rahmat daripada Allah SWT dan mendapat ketenteraman serta terhindar dari siksa kubur dan azab api neraka.

No comments:

Post a Comment