Gaya pemakanan yang sihat amat penting bagi
kesihatan yang baik. Jadi amat penting kita memilih makanan yang berkhasiat dan
memenuhi keperluan jasmani dan rohani.
Tabiat pengambilan makanan yang sihat dari
kecil lagi. Ibu bapa berperanan memupuk gaya pemakanan yang sihat. Namun, aspek
pendidikan ini jarang diberi perhatian oleh ibu bapa. Anak diberi kebebasan
meminta atau memilih makan yang digemari tanpa mengambil kira kesan akibat
pemakanan itu.
Kanak-kanak pada masa kini gemar untuk makan
makanan ringan atau jajan. Kononnya lebih sedap dan menyelerakan serta boleh
dimakan bila-bila masa. Makanan sihat seperti sayur, daging, ikan, buah-buahan
tidak menjadi kegemaran atau pilihan mereka.
Trend pengambilan makanan ringan di
kalangan kanak-kanak bermula sejak usia bayi atau bawah usia dua tahun. Mereka
diberikan makanan seperti coklat, aiskrim, gula-gula, snek dan lain-lain
kononnya untuk membiasakan dengan pelbagai jenis makanan orang dewasa dan
menceriakan.
Apabila usia meningkat kanak-kanak dan
boleh ‘meminta’ atau membuat pilihan sendiri apa ingin dimakan, ibu bapa
membelikan anak-anak makanan ringan sebaik sahaja diminta oleh anak-anak.
Sepatutnya, ibu bapa menghadkan anak
memakan makanan ringan. Lebih elok jika tidak diberikan langsung. Ini bagi
mengelak budaya memakan makanan ringan. Jika ibu bapa tidak membeli
makanan ringan lama-kelamaan kanak-kanak akan membiasakan diri untuk makan
makanan yang sihat.
Kandungan yang terdapat di makanan ringan
seperti gula, garam, lemak, pengawet dan pewarna boleh mengakibatkan
kanak-kanak terdedah kepada pelbagai jenis penyakit.
Antara penyakit yang dihidapi oleh
kanak-kanak akibat pengambilan makanan ringan yang keterlaluan ialah seperti
penyakit darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, asma, obesiti dan
lain-lain. Keadaan ini punca mengapa kebanyakan rakyat sudah mengidap pelbagai
penyakit berbahaya seawal usia 30an atau 40an.
No comments:
Post a Comment