Doa adalah untuk memohon pertolongan Allah
SWT. Terdapat tiga golongan yang doa mereka amat diterima oleh Allah SWT bersandarkan
kepada sebuah hadis Qudsi.
Rasulullah SAW bersabda: “Tiga golongan
yang tidak pernah ditolak doa mereka iaitu pertama, doa orang yang berpuasa;
kedua, doa pemerintah yang adil; dan ketiga, doa orang yang dizalimi, di mana
doa mereka terbuka luas dan Allah memberi jaminan doa mereka pasti dipenuhi”.
(Hadis riwayat Tirmizi)
Sesungguhnya doa orang yang dizalimi dan
teraniaya adalah mustajab. Apalagi kalau mereka itu orang lemah, tiada kuasa dan
orang tua. Semakin lemah mereka, maka semakin besar dan cepat pula pertolongan
Allah SWT datang membantu.
Dengan sikap berhati-hati ketika berdoa,
insya-Allah kehidupan kita terjauh daripada melakukan pelbagai bentuk
kezaliman, pembohongan, ketidakadilan, fitnah-memfitnah dan penganiayaan dalam
keluarga, masyarakat, pertubuhan dan organisasi.
Berdasarkan peringatan Allah SWT dan
Rasulullah SAW itu, amat yakin mereka yang melakukan kezaliman, fitnah dan
penganiayaan kepada manusia tidak terlepas begitu saja.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa
yang mengerjakan amal salih, maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri
dan sesiapa berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan
Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.’ (Surah
Fussilat, ayat 46)
Selain berdoa kita perlu berusaha. Allah
SWT tidak mengubah nasib individu atau kaum melainkan mereka sendiri berusaha
untuk mengubahnya.
Firman Allah SWT bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka
mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." - (Surah ar-Rad, ayat
11).
Keterangan daripada al-Quran dan hadis
memperlihatkan bahawa Allah SWT mengharapkan agar setiap hamba itu berdoa
kepada-Nya, dalam setiap keadaan, ketika kaya, mewah, juga ketika dalam
kesusahan, kerana berdoa itu merupakan otak ibadah.
Allah SWT menjanjikan kemakbulan setiap
doa. Namun demikian andainya doa seseorang itu masih tidak dikabulkan, sakit
yang dideritai tidak sembuh-sembuh, biarpun puas berubat, hutang semakin banyak
biarpun usaha berniaga dilakukan bersungguh-sungguh, ini tidak bermakna Allah
SWT itu memungkiri janji-janji-Nya.
Ada rahsia-rahsia di sebalik ketentuan qada
dan qadar yang perlu difahami untuk dijadikan pegangan dalam usaha melenyapkan
rasa kecewa.
Andainya seseorang itu mengetahui rahsia
qada dan qadar, sudah pasti dia menerima apa saja yang ditentukan oleh Allah
SWT.
No comments:
Post a Comment