Tuesday, 24 January 2023

KEBAIKAN TIDUR DALAM KEADAAN GELAP

 
Tidur dalam gelap ada kebaikan. Amalan tidur dalam gelap memberi manfaat untuk kesihatan rohani dan jasmani. Dari Jabir bin Abdullah, bahwasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Matikan lampu-lampu di waktu malam jika kalian hendak tidur dan tutuplah pintu-pintu, bejana serta makanan dan minuman kalian.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
 
Mengapa Nabi Muhammad SAW menyuruh tidur dalam gelap? Apa kebaikannya?
 
Sesungguhnya Rasulullah SAW diberikan oleh Allah SWT kelebihan yang tidak dianugerahkan kepada kepada manusia biasa. Amalan dan kata-kata Rasulullah SAW adalah wahyu yang mempunyai kebenarannya. 
Kajian mendapati tidur dalam keadaan gelap dapat meningkatkan penghasilan melatonin. Kenapa kita perlukan melatonin yang secukupnya?
Melatonin adalah penting bagi tubuh kita kerana ia memainkan peranan penting dalam mengawalatur fisiologi badan bagi menjaga kesihatan fizikal dan minda.
 
Di antara fungsi melatonin ialah:
- Mengawalatur tidur dan meningkatkan daya ingatan
- Membantutkan pertumbuhan tumor kanser
- Memperbaiki sistem imun badan.
- Mengawalatur tekanan darah.
- Fisiologi retina.
- Mengawal mood dan kelakuan
- Sebagai antioksidan yang kuat bagi melawan radikal bebas dalam badan.
- Mengawal proses penuaan. 
Oleh kerana terdapat perkaitan rapat antara pengeluaran melatonin, di mana pengeluaran melatonin sangat kurang dalam cahaya terang, sebaik-baiknya kita elakkanlah penggunaan lampu yang terang dalam jangkamasa yang lama pada waktu malam (seperti semasa tidur malam). Ini bagi membolehkan melatonin menjalankan fungsinya dengan berkesan.
 
Melatonin dikeluarkan oleh kelenjar pineal yang hanya aktif ketika matahari terbenam atau gelap. Di waktu itu pineal secara aktif mengeluarkan melatonin yang kemudian dilepaskan ke dalam darah. Selepas melatonin memasuki  seluruh tubuh, ia akan menjalankan tugasnya bagi memperbaiki keseimbangan kimia, membina sistem kekebalan tubuh, mengatur kadar gula dan sebagainya.
 
Semakin gelap bilik tidur, makin baik kerana ia akan menghasilkan jumlah melatonin paling optimum di dalam tubuh. Dan jika tidur dalam gelap ini diamalkan setiap hari dengan jumlah tidur antara 6-8 jam, kita pasti akan  lebih segar pada setiap hari.
Seorang pakar biologi, Joan Roberts mencari rahsia setelah melakukan percubaan pada haiwan. Ketika haiwan tersebut diberi cahaya buatan pada malam hari, melantoninnya (salah satu hormon dalam sistem kekebalan yang mampu memerangi dan mencegah berbagai penyakit termasuk kanser payudara dan kanser prostat) menurun dan sistem kekebalan tubuhnya lemah.
 
Cahaya lampu termasuk pancaran TV menyebabkan hormon menjadi sangat lemah. Sebaliknya, keadaan malam yang gelap bekerjasama dengan tubuh. Hanya dalam keadaan yang benar-benar gelap tubuh menghasilkan melantonin.
 
Sebaliknya, tidur dengan lampu menyala pada malam hari menyebabkan pengeluaran hormon melantonin terhenti. Sinar cahaya ketika kita tidur menjadikan kualiti tidur kita kurang baik. Ini kerana sinar tersebut masih berperanan sebagai perangsang kerja otak.
 
Secara ilmiah, cahaya yang ada dalam bilik tidur akan menembus sampai bahagian mata kita walaupun dalam keadaan terlelap, sinar tersebut akan memasuki ruang stimulator yang kemudiannya mendapat tindak balas oleh otak.
 
Dengan kata lain walaupun mata kita terpejam, tetapi jika ada cahaya yang bersinar maka otak kita akan bekerja untuk bertindak balas terhadap cahaya yang masuk tersebut.
 
Tidur yang berkualiti pada malam hari merupakan usaha pengoptimuman dalam detoksifikasi untuk meneutralkan toksin dalam tubuh. 
 
Detoksifikasi tubuh, terjadi terutama pada hati, mencapai optimum ketika tidur. Mekanisme tersebut berkaitan erat dengan pengeluaran antioksidan sebagai penetral toksin.
 
Pada tidur yang berkualiti, detoksifikasi hati dapat berjalan optimum, khususnya dalam pembentukan asid amino glutathione sebagai antioksidan yang meneutralkan radikal bebas.
 
Dengan mematikan lampu ketika tidur malam hari, bukan hanya menjimatkan tenaga elektrik tetapi juga meningkatkan kesihatan tubuh.
 

No comments:

Post a Comment