Lokomotif Kelas O antara yang
pernah mendominasi landasan dari era Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu
(FMSR) hingga zaman awal Keretapi Tanah Melayu (KTM).
Lokomotif wap ini dibina oleh North British Locomotive
Company di Glasgow, Scotland, dan dihantar ke Tanah Melayu dalam empat kumpulan
antara tahun 1938 hingga 1948.
Sebanyak 66 unit lokomotif dengan susun atur roda jenis
4-6-2 “Pacific” telah dihasilkan, yang masing-masing diklasifikasikan sebagai
siri O1, O2, O3 dan O4.
Dari segi teknikal, lokomotif ini mempunyai susun atur roda
4-6-2, tender 8-roda bogie, beroperasi di atas landasan meter gauge (1,000 mm),
dan digunakan untuk perkhidmatan penumpang serta kargo jarak jauh.
Kumpulan pertama telah diperoleh sebanyak 11 pada tahun 1938
dan diberi nombor 60 - 70 dalam Siri O1. Pada tahun 1939 kumpulan kedua, 6 lokomotif
telah diterima sebagai kelas O2 dan
bernombor 71-76.
Kumpulan ketiga sebanyak 11 telah diterima pada tahun 1940 dan
dikenali sebagai O3 yang bernombor 77 - 87. Ia berbeza berbanding sebelumnya kerana
diameter silinder ditingkatkan sebanyak 1/2" dengan peningkatan seterusnya
dalam usaha tarikan.
Pada tahun 1946 dan 1946, kumpulan keempat sebanyak 40 buah
lokomotif yang dikenali sebagai O4. Kumpulan terakhir ini dikenali sebagai Kelas
564. Serentak dengan penjenamaan semula siri, lokomotif terdahulu masing-masing
menjadi kelas 561, 562 dan 563.
Lokomotif Kelas O memainkan peranan penting dalam
membangunkan jaringan rel di Tanah Melayu, menghubungkan bandar-bandar utama
dari Singapura ke Padang Besar.
Khidmat lokomotif ini telah ditamatkan. Ada beberapa unit
yang dijadikan sebagai warisan. Salah satu yang terkenal ialah lokomotif
bernombor 564.25 yang dinamakan “Kuala Lumpur”, kini disimpan di DsRail,
Seremban sebagai simbol sejarah perkeretaapian negara.
No comments:
Post a Comment