Sebut sahaja Paris pasti banyak orang terbayangkan
imej kota romantis di Perancis. Sebenarnya, Paris juga ada di Malayasia, atau lebih tepat di Kinabatangan, Sabah.
Paris di negeri di bawah bayu ini mewakili
nama mukim yang dibentuk sebagai akronim mewakili 'Perkampungan Anak Rakyat
Islam Sabah' yang menggambarkan identiti perkampungan unik berkenaan.
Terletak di jalan utama Lahad Datu-Kota
Kinabalu, kira-kira 95 peratus penduduk di mukim berkenaan beragama Islam
berbangsa Sungai dan Bugis, manakala selebihnya berbangsa Kenyah, satu daripada
suku kaum dari Sarawak yang berhijrah ke Sabah.
Kampung itu diwujudkan pada 1976 dengan
namanya diambil bersempena syarikat pembalakan terbesar yang pernah beroperasi
di situ iaitu 'Feerest' dengan penduduk awal ketika itu seramai 145 orang.
Kebanyakan penduduk terawal adalah bekas
pekerja kem pembalakan di Sungai Pin dan Sungai Tenagang, yang juga antara anak
Sungai Kinabatangan.
Selepas lebih 40 tahun diwujudkan, kampung
itu kini mempunyai lebih 5,000 penduduk dengan dilengkapi pelbagai kemudahan
termasuk dua sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah, bekalan air, elektrik
dan beberapa prasarana lain.
Kampung Paris dibuka secara rasmi pada 15
Jun 1977 dengan keluasan awal 1,214 hektar dan kini diiktiraf sebagai mukim
yang merangkumi tujuh perkampungan iaitu Kampung Paris 1, Paris 2, Paris 3,
Koyah A, Koyah B, Koyah Bersatu dan Sri Tekala.
Kampung Paris 3 seperti 'pekan kecil'
dengan kebanyakan perniagaan seperti gerai sayur, restoran dan pengurup wang
ada di situ dan ia menjadi tumpuan kepada pekerja ladang kelapa sawit sekitar
mukim ini.
Kampung Paris cukup terkenal bagi pengguna
jalan raya dari Lahad Datu ke Kota Kinabalu kerana ia antara perhentian untuk
mengisi minyak, solat dan istirahat sekejap.
Penduduk di sini kuat berusaha dalam
aktiviti ekonomi, bukan saja pertanian, malah perniagaan seperti produk makanan
yang dipasarkan di daerah lain dan ia menyebabkan nama Paris semakin terkenal.
ANJUNG Paris antara pembangunan di kawasan Kampung Paris 3 yang menempatkan restoran dan pusat pengiriman wang. - Foto Poliana Ronnie
No comments:
Post a Comment