Friday, 3 March 2023

Azalina pecah tradisi pemilihan UMNO

 
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, memecah tradisi UMNO sejak parti terbesar Melayu itu ditubuhkan pada tahun 1946 apabila beliau menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden pada pemilihan parti itu pada 18 Mac 2023.
 
Penyertaan itu menyaksikan beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) adalah satu-satunya calon wanita yang mencabar jawatan nombor tiga parti itu.
 
Banyak pemerhati politik akar umbi berpendapat tindakan Azalina itu satu langkah tepat sebagai satu langkah untuk terus memperkasakan UMNO di persada politik negara.
 
Penyertaan wanita pada peringkat tertinggi amat penting sebagai mewakili golongan wanita yang sejak dari awal penubuhan UMNO menjadi tonggak kekuatan parti, termasuk ketika era memperjuangkan kemerdekaan negara dahulu.
 
Keberadaan wanita pada kedudukan tertinggi parti, termasuk kerusi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO agak sedikit, sedangkan separuh ahli UMNO adalah wanita.
 
Jika Azalina berjaya dalam perebutan jawatan Naib Presiden bagi Penggal 2023-2026 itu, ia bukan sahaja mencatat sejarah, bahkan bakal memberi suntikan semangat dan keyakinan untuk wanita menawarkan diri berada di kerusi MKT.
 
Peluang Azalina dipilih menduduki kerusi Naib Presiden dilihat cerah berdasarkan pengalaman dalam politik dan kerajaan yang dilalui sebelum ini. Azalina sebelum ini pernah memegang jawatan Ketua Puteri UMNO, sebelum merebut jawatan Ahli MKT UMNO.
 
Pada Pilihan Raya Umum 2004 dan 2008, beliau telah menang tanpa bertanding di kerusi Parlimen Pengerang. Beliau diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Menteri Belia dan Sukan (31 Mac 2004-7 Mac 2008). Kemudian dilantik sebagai Menteri Pelancongan (18 Mac 2008 - 9 April 2009).
 
Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat wanita pertama di Malaysia.
 
Beliau mendapat pendidikan di UiTM Shah Alam dalam jurusan undang-undang. Kemudian sambung belajar di Universiti Malaya dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) pada tahun 1988. Kemudian beliau melanjutkan pengajian di London School of Economics and Political Science, United Kingdom dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Undang-Undang pada tahun 1990.

No comments:

Post a Comment