Monday, 29 January 2024

HADIAH PERTANDINGAN MEMANCING DIKIRA JUDI?

 
Perjudian wujud dalam pelbagai bentuk. Bentuk biasa pemain judi melibatkan daun terup, dadu, lumba kuda, cabutan nombor dan teka nombor. Terdapat keputusan dijadikan asas pertaruhan seperti pertandingan bola sepak, pilihan raya dan sebagainya.

Selain itu, ada aktiviti yang dianggap judi terselindung. Biasanya keadaan ini berlaku dalam pertandingan tertentu. Peserta perlu membayar yuran sejumlah wang penyertaan. Wang tersebut dikumpul dan dijadikan hadiah untuk pertandingan. Ada juga cabutan bertuah untuk setiap resit atau borang penyertaan.

Hadiah yang besar, mahupun kecil adalah diambil daripada yuran penyertaan yang mahal. Jadi, ramai yang tertarik untuk menyerainya kerana inginkan hadiah yang besar dan sanggup membayar yuran penyertaan yang tinggi.

Pihak penganjur pula akan beroleh keuntungan hasil lebihan yuran penyertaan ditolak dengan perbelanjaan pengurusan pertandingan dan hadiah.

Antara pentandingan yang boleh dikategorikan sebagai perjudian ialah pertandingan suara burung candik, memancing, sepakan penalti, ayam galak dan sebagainya.

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga menyebut dalam kitabnya yang telah kami terjemahkan, Halal & Haram dalam Islam (ms. 558): “Tetapi sekiranya hadiah tersebut (atau benda pertaruhannya) dikeluarkan dari kedua-duanya sekali dan mereka yang bertaruh dengan syarat siapa yang menang antara keduanya, maka dia berhak mengambil kedua-duanya (taruhan) sekali. Maka jelaslah ini merupakan perjudian yang diharamkan oleh Islam.”

Kesatuan Fikah Sedunia dalam sidangnya ke 14 pada 11 hingga 16 Jan 2003 telah memutuskan bahawa semua permainan dan pertandingan yang hadiahnya diambil dari hasil kumpulan wang penyertaan peserta, hukumnya adalah haram hadiah tersebut. Ini kerana ia mengandungi unsur judi dan gharar atau ketidaktentuan.

Justeru, mengambil yuran peserta bagi tujuan hadiah kepada para pemenang ialah satu bentuk pertaruhan yang diharamkan kerana mengakibatkan kerugian melalui main nasib atas pihak yang kalah.

Maka, dicadangkan agar penganjur mencari penaja untuk menaja hadiah para pemenang.  Adapun, yuran peserta digunakan untuk belanja pentadbiran seperti sewaan padang, dan peralatan, maka itu dibenarkan kerana semua peserta berkongsi manfaat bersama.

No comments:

Post a Comment