Sejarah moden Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
bermula dengan pengambilan 25 orang pemuda Melayu sebagai skuad percubaan
Rejimen Askar Melayu pada 1 Mac 1933. Tarikh tersebut dijadikan hari penubuhan Tentera
Darat Malaysia (TDM)
Setelah negara mencapai kemerdekaan pada
tahun 1957, TDM telah berkembang maju dan lengkap untuk menjalankan operasi
melawan insurgensi. Pada masa ini pasukan TDM sedang pesat dipermodenkan sebagai satu
pasukan tentera konvensional yang mampu untuk menghadapi cabaran masa depan.
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bermula
dari Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Negeri-negeri Selat pada 27 April
1934 di Singapura. Pasukan ini diperbesarkan pada tahun 1938 dengan penubuhan
cawangan Pulau Pinang dan ditukarkan nama kepada Pasukan Sukarela Tentera Laut
Diraja Malaya.
Menjelang Perang Dunia Kedua, seksyen
Melayu dalam Royal Navy telah ditubuhkan dan kekuatan pasukan ini mencapai
jumlah 1430 anggota pada tahun 1941. Selepas kejatuhan Singapura pada tahun
1942, seramai 150 orang anggota Tentera Laut Malaya telah berundur ke Ceylon,
India dan Afrika Timur.
Anggota -anggota ini kembali ke Malaya
apabila perang tamat. Malangnya disebabkan kekurangan kewangan selepas perang,
Tentera Laut Malaya telah dibubarkan pada bulan April 1947.
Apabila darurat tercetus pada tahun 1948,
Tentera Laut Malaya telah dihidupkan semula dan diwartakan pada 4 Mac 1949.
Tentera Laut Malaya dianugerahkan gelaran Diraja oleh baginda Queen Elizabeth
II pada tahun 1952.
Titik mula Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)
ialah dengan penubuhan Pasukan Sukarela Tentera Udara Negeri-negeri Selat
(SSVAF) oleh British pada tahun 1936.
Pasukan ini ditukar nama kepada Pasukan
Simpanan Tentera Udara Malaya pada tahun 1940 tetapi telah dibubarkan selepas
Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1950 pasukan ini telah dihidupkan semula sebagai
Royal Air Force Malaya (RAF Malaya).
TUDM menjadi kenyataan pada tahun 1958
apabila pesawat Twin Pioneer pertama mendarat di pangkalan RAF Kuala Lumpur. TUDM
ditubuhkan dengan rasminya pada 2 Jun 1958.
No comments:
Post a Comment