Friday 30 December 2016

KEMATIAN AKIBAT KANSER PARU-PARU

Kanser paru-paru menjadi penyebab utama kematian di seluruh dunia dengan catatan 1.6 juta setahun. Angka tersebut membuktikan bahawa kanser antara penyakit yang paling banyak dihidapi, malah hari ini tanpa mengira jantina serta umur sesiapa sahaja boleh menghidapnya.

Takrifan kanser merujuk kepada sel abnormal yang mengalami gandaan atau pertumbuhan yang berlaku secara tidak terkawal dan melampau dalam tubuh badan manusia dan membentuk tumor.

Jika selama ini kanser paru-paru dikaitkan dengan individu yang merokok, tetapi hari ini bukan lagi satu-satunya punca utama penyakit ini malah semua orang berisiko tinggi untuk menghidapnya.

Penyedutan asap rokok secara pasif diakui sebagai penyebab utama kanser paru-paru pada masa ini dan perangkaan global menunjukkan bahawa antara 10 hingga 15 peratus pesakit kanser paru-paru tidak pernah merokok.

Dengan kata lain, menyedup asap rokok yang dilepaskan oleh perokok berada berhampiran seseorang juga menjadi punca kepada kanser paru-paru.

Di Malaysia, kira-kita 60 peratus wanita yang menghidap kanser paru-paru merupakan individu yang tidak pernah merokok.

Justeru, perokok tidak boleh lagi menganggap perbuatan merokok hak peribadi dan tidak mendatangkan keburukan kepada orang lain. Mereka mengganggu dan mengancam keselamatan orang lain.

Kanser paru-paru sukar dikesan kerana sesetengah daripada gejalanya sama dengan penyakit lain seperti kelesuan, kehilangan berat badan, kehilangan selera makan, atau sesak nafas.

Orang ramai dinasihatkan agar segera menjalani saringan kesihatan kerana pengesanan dan rawatan awal boleh membawa perbezaan besar dalam cara pesakit kanser dan keluarga mengurus serta mengubah gaya hidup untuk disesuaikan dengan kaedah rawatan yang baru.

Walaupun setiap tahun angka pesakit kanser paru-paru semakin meningkat, kebanyakannya hanya dapat dikesan apabila berada di peringkat akhir dan sukar untuk diselamatkan.

Kaedah rawatan yang ada untuk pesakit kanser paru-paru ialah pembedahan, kemoterapi, dan terapi sasaran, namun kaedah ini digunakan bergantung kepada keadaan atau tahap keseriusan seseorang pesakit dan jenis kanser paru-paru yang dihidapi.

Jika dikesan pada peringkat awal, rawatan kanser paru-paru boleh meningkatkan kadar kelangsungan hidup dan mengurangkan kesakitan serta ketidakselesaan menangani kanser.

Yang pasti, risiko kanser boleh dikurangkan dengan pengesanan awal, gaya hidup sihat, berat badan ideal, diet sihat dan senaman.

Jauhi amalan merokok yang mendatangkan bahaya kepada perokok dan orang yang berada di sekitarnya, terutama ahli kelurga. Sayangi diri anda dan juga keluarga anda. 

No comments:

Post a Comment