Friday 30 December 2016

SEJARAH PEMASANGAN AL KISWAH KELAMBU KAABAH

Kelambu Kaabah atau Al-Kiswah menutupi Kaabah di setiap penjuru dindingnya. Sejarawan berselisih pendapat siapakah yang mula-mula memasang Al-Kiswah. Ada mengatakan Nabi Ismail yang memulakannya dengan menggunakan kain dibuat daripada kulit haiwan.

Pendapat lain pula mengatakan orang yang mula-mula memasangnya ialah Adnan Udda. Sementara satu pendapat agak masyhur pula mengatakan Tubba Abu Karb Asad, Raja Yaman, orang yang pertama memasang Al-Kiswah iaitu 220 tahun sebelum berlakunya Hijrah. Beliau menggunakan sejenis kain buatan Yaman yang ditenun dengan benang perak bagi menutup sekeliling Kaabah.

Sejak itu, raja dan pembesar di kalangan orang Arab meneruskan tradisi berkenaan. Mereka sentiasa mengambil berat untuk menyediakan kelambu Kaabah daripada pelbagai seperti warna, putih, kuning, hijau dan hitam dengan menggunakan kain sutera kasar.

Mereka memasang yang baru di atas kelambu yang lama, menjadikannya bertompok-tompok dan dibiarkan hancur sendiri.

Pada masa penguasaan kaum Quraisy, iaitu sebelum kedatangan Islam, mereka menggunakan kain sutera sebagai Al-Kiswah. Qusai Kilab memperkenalkan cukai di kalangan puak Arab, khusus bagi menyediakan al- Kiswah setiap kali ia perlu diganti.

Tirai atau kelambu turut dipasang dalam Kaabah. Orang pertama yang melakukannya ialah Nabilah Hibban, bonda kepada Abbas Abdul Muttalib.

Rasulullah SAW mula memasang Al-Kiswah pada tahun ke-8 Hijrah iaitu tahun penaklukan kota Makkah oleh orang Islam. Baginda menggunakan kain tenunan Yaman. Pemasangan itu diikuti oleh Khalifah Abu Bakar dan Umar.

Sewaktu pemerintahan Saidina Uthman pula digunakan kain Qibti. Pada pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan dari Dinasti Ummaiyyah, Hajjaj bin Yusuf ath-Thaqafi, salah seorang pembesarnya kembali menggunakan kain sutera untuk Al-Kiswah.

Perhatian berat terhadap penyediaan Al-Kiswah mendorong Raja Mesir Sultan al-Malik as-Saleh Ismail ibnu an-Nasir Qalawun membeli tiga kampung, Basus, Sandabis dan Abil Ghit di daerah Qalyub pada tahun 743 Hijrah (1342 Masihi), untuk dijadikan wakaf bagi mendapatkan hasil tenunan untuk membuat Al-Kiswah.

Kemudian Sultan Salim Al Usmani membeli pula tujuh kampung bagi tujuan sama.

Sewaktu Mesir diperintah oleh Mohammad Ali Basya, diwujudkan pula jawatan khusus bagi urusan pembuatan Al-Kiswah.

Kelambu Kaabah yang dihasilkan di Mesir itu akan dikirim setiap tahun ke Makkah menjelang musim haji melalui Sinai.

No comments:

Post a Comment