Friday 30 December 2016

GERAKAN MUSLIM PROGRESIF

Terdapat pihak yang mengaku memperjuangkan Islam tetapi hakikatnya mereka membawa virus dalam gerakan Islam. Mereka bermuka-muka kononnya berjuang untuk Islam yang lebih baik.

Umpamanya seperti golongan Muslim Progresif yang disebut dalam buku "Progressive Muslim: On Justice, Gender and Pluralism" susunan Omid Safi. Malah mereka sendiri berbangga menggelar diri mereka sebagai kumpulan progresif, sekaligus memperakui hakikat itu. 

Gagasan pemikiran Muslim Progresif ini sebenarnya selari dengan Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia, yang selalu disebut sebagai Islam Liberal.

Selain daripada itu, gagasan pemikiran Muslim Progresif ini adalah cerminan kepada gagasan American Islam atau Islam Ala Amerika. Berkaitan Islam Ala Amerika ini, ada sebuah buku yang disusun oleh Juliane Hammer dan Omid Safi bertajuk "The Cambridge Companion to American Islam". 

Buku ini cuba memaparkan, desakan agar ajaran Islam dikonsepkan dan ditafsirkan semula supaya dapat diterima oleh pemikiran dan budaya masyarakat Amerika hari ini.

Sudah tentu Islam yang digambarkan bukanlah Islam yang sebenar. Sebagai contoh, baru-baru ini muncul seorang imam gay di Amerika, Daayiee Abdullah, yang amalan Islam jauh terpesong dari ajaran Islam yang sebenar.

Walaupun belum ada parti atau gerakan Islam Ala Amerika di Malaysia, gerakan ke arah itu semakin jelas ketara.  

Mereka mempromosikan gerakan itu tetapi ternyata ditolak majoriti penganut Islam di Malaysia. Namun mereka tidak berhenti terus, sebaliknya terus bergerak secara minima atau cuba mengambil hati penganut Islam.

Mereka cuba mengaruhi penganut yang berfikiran liberal dan cetek pengetahuan agama. Golongan ini dipengaruhi agar menerima Islam secara fahaman liberal dan dapat menerima kesamaan dengan penganut agama lain.

Golongan gerakan Islam Ala Amerika di Malaysia menggunakan pelbagai isu semasa seperti hubungan dengan agama lain, masalah politik, ekonomi, sosial, hak kebebasan individu dan pelbagai perkara lain yang menarik minat rakyat untuk menyokong mereka.

Antara golongan yang menjadi sasaran gerakan ini ialah anak muda, golongan profesional, pemimpin politik yang kecewa dan masyarakat yang tersisih. Mereka berlagak sebagai juara rakyat yang kononnya terabai, ditindas dan dizalimi.

No comments:

Post a Comment