Islamofobia merupakan rasisme bentuk
baharu yang belum dapat dibanteras, dilihat sebagai ancaman yang terus dihadapi
Islam dan umatnyadi serata pelosok dunia.
Banyak pihak membuat kesimpulan sedemikian
dan Islamofobia yang ‘menakutkan’ Barat terutamanya menyebabkan umat Islam
dipandang serong dan menjadi mangsa diskriminasi.
Islamofobia semakin menjadi-jadi selepas
peristiwa 11 September 2001 namun di sebalik pelbagai gambaran buruk, secara
tidak langsung juga mendorong lebih ramai tertarik untuk mengenali Islam yang
sebenar.
Ramai yang mula tertanya-tanya adakah
Islam yang patut dipersalahkan sebagai gerakan yang mencetuskan keganasan.
Pihak musuh Islam akan mengambil
kesempatan untuk melakukan serangan pemikiran terhadap umat Islam dengan
mengaitkan Islam dengan keganasan. Melihat kepada situasi semasa, umat Islam
sukar untuk mempertahankan serangan tersebut kerana ia dilihat seperti benar.
Gerakan serangan pemikiran mudah dilakukan
dengan perkembangan teknologi maya sekarang.
Bagaimanapun, kesimpulan oleh para penulis
berwibawa tentang Islam dan sejarah umatnya tidak menyalahkan ajaran agama
sebagai pencetus konflik, sekali gus telah membantu meredakan sedikit
Islamofobia.
Selain budaya positif, cara hidup aman
damai yang menyumbang kepada kehidupan dunia secara harmoni, dunia juga melihat
subbudaya sebahagian kecil umat Islam yang mempunyai ciri agresif terlalu
konservatif dan cenderung mencetuskan keganasan.
Untuk memastikan Islam dan umatnya tidak
terus tergugat terutama dalam melaksanakan tuntutan akidah dan syariah,
kedua-duanya perlu dipisahkan daripada pelbagai isu geopolitik masyarakat
Islam, sekali gus kesannya dapat meminimumkan Islamofobia.
Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat
dunia yang rasional akan terus menolak dan menentang golongan pelampau,
terutamanya golongan pengganas.
Umat Islam perlu membuktikan bahawa Islam
agama mengajak kepada keamanan dan kesejahteraan. Justeru, kewujudan golongan
Islam ekstrem perlu dibenteras. Jauhi amalan bertindak membabi buta dan tidak
menggunakan kebijaksanaan akal.
Sekiranya umat Islam tidak bersatu,
termasuk dalam urusan pentadbiran negara, maka selama-lamanya Islam akan terus
lemah. Banyak kuasa negara Islam kini tergadai kepada bukan Islam.
Hal ini juga mungkin berlaku di Malaysia.
Kuasa pemerintahan Islam di Malaysia bakal berkubur jika pemimpin Islam terus
berpecah dan saling menjatuhkan antara satu sama lain.
No comments:
Post a Comment