Wednesday, 29 January 2020

FAKTOR KE ARAH MEMBINA KEJAYAAN UMMAH

Antara perkara yang perlu diutamakan umat Islam untuk menjayakan usaha berubah kepada lebih baik ialah penguasaan ilmu, memperkukuhkan ekonomi, membina hidup berkualiti, jiwa merdeka, keutuhan budaya dan moral, dan nembina keyakinan diri.

Penguasaan ilmu.  Ilmu adalah modal paling berharga dalam hidup manusia. Sebab itu Islam amat menekankan perihal menuntut ilmu. Ayat al-Quran yang pertama diturunkan awal-awal lagi menyebut mengenai ilmu. 

Umat Islam perlu kembali mengutamakan ilmu untuk mengubah tanggapan buruk masyarakat dunia terhadap Islam. Kini umat Islam terpaksa menagih ilmu daripada bukan Islam. Hakikatnya kita jauh ketinggalan dalam hampir semua bidang yang amat penting dikuasai untuk kehidupan dalam era milinium ini. 

Umumnnya kita masih bercanggah pendapat dalam pencarian ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Sesetengah fahaman berpendapat hanya ilmu fardu ain perlu diajarkan kepada anak-anak mereka. Sedangkan ilmu lain dianggap sekular dan tidak perlu dipelajari.

Menuntut ilmu tidak terhad dalam tempoh masa tertentu secara formal sahaja.   Islam menekankan kepada konsep menuntut perlu dilakukan sepanjang hayat.   

Memperkukuhkan ekonomi. Kelemahan umat Islam secara global berpunca kelemahan ekonomi. Kebanyakan negara Islam masih berada dalam kategori negara mundur. Pendapatan perkapita umat Islam jauh lebih rendah berbanding penganut agama lain.

Kita perlu membina kekuatan ekonomi agar tidak terus ditindas. Penglibatan dalam ekonomi global dengan meningkatkan daya saing hendaklah dilakukan secara teratur. Kerjasama sesama negara Islam dalam perdagangan antarabangsa dapat menyediakan pasaran ekonomi yang lebih luas. 

Terdapat 58 buah negara Islam di seluruh dunia. Bilangan umat Islam di seluruh dunia, termasuk di negara bukan Islam, kini melebihi 1.3 bilion orang. Perdagangan dua hala dan penjanaan ekonomi sesama negara Islam mampu memberi  kesan yang besar untuk memperkuatkan Islam secara keseluruhannya.  

Penggantungan kepada sistem ekonomi kapitalis yang mencengkam negara lemah seharusnya ditukarkan kepada sistem ekonomi Islam yang mementingkan kosep kebaikan bersama dan mengelak penindasan.

Membina hidup berkualiti. Kualiti hidup bergantung kepada keupayaan menyediakan keperluan hidup yang sesuai dengan keperluan semasa. Selain keperluan dalam bentuk fizikal, tahap kesihatan dan gaya hidup sihat juga menyumbang kepada hidup berkualiti.   

Seluruh rakyat disarankan mengutamakan penjagaan kesihatan. Amalan merokok, makan tidak teratur dan kurang melakukan aktiviti senaman menyebabkan kualiti hidup semakin menurun. Keadaan bertambah teruk apabila berlaku tekanan di tempat kerja dan masalah rumahtangga. 

Jiwa merdeka. Pada hakikatnya, secara fizikal Malaysia sebuah negara merdeka. Kemerdekaan cara fizikal tidak memadai jika jiwa rakyat tidak turut merdeka. Rakyat mesti yakin kepada kemampuan negara. Kita tidak boleh mengharapkan kuasa asing untuk menentukan dasar pentadbiran negara.

Kuasa besar semakin galak memperkenalkan konsep penjajahan era baru atau neo-kolonisma. Penjajahan secara tidak langsung itu dilakukan melalui penularan cara berfikir, ekonomi, pendidikan, ketenteraaan, hiburan dan hubungan antarabangsa.

Keutuhan budaya dan moral. Usaha membina keuntuhan budaya dan moral dilihat satu keperluan semakin penting. Sekarang ini pelbagai serangan budaya dari luar menyerang kita. Cara hidup yang tidak sesuai dengan kehendak agama dan budaya timur perlu ditolak.

Barat sentiasa menginginkan kita mengikut cara hidup mereka. Kalau boleh semua masyarakat dunia ini homogen atau hampir sama dengan mereka. Tidak semua yang datang dari Barat itu baik. Banyak cara hidup, pemikiran dan dasar yang diamalkan di Barat bertentangan dengan tuntutan agama dan cara hidup masyarakat kita.

Kita perlu menukar cara hidup kita, nilai, pemikiran dan cara kita berhubung dengan orang lain mengikut acuan kita sendiri. Kita meniru Barat hanya dalam soal yang boleh mendatangkan kebaikan. 

Membina keyakinan diri. Bagi menyahut semangat hijrah ini, kita perlu membina keyakinan diri untuk berdikari. Sikap rendah diri dan mengharapkan pertolongan orang lain perlu dibuang. Setiap orang mempunyai potensi untuk berjaya seperti mana orang lain, biarpun dalam skala yang berbeza-beza.

Mengapa kita terus kecewa dan hilang keyakinan diri apabila gagal. Untuk berjaya perlukan kesabaran dan kegigihan untuk bertahan apa yang sedang dilakukan. Kita semua mempunyai kemampuan untuk mencapai apa yang diimpikan dan menjalani kehidupan yang lebih bermakna dengan menggerakkan kesedaran keyakinan diri.

No comments:

Post a Comment