Saturday, 19 December 2020

MUSLIM MESTI BEKERJA KERAS MENCARI REZEKI

Islam menekankan setiap Muslim supaya bekerja keras mencari rezeki dengan menggunakan semua potensi dan kekuatan tulang empat kerat. Elakkan daripada meminta secara haram.

Ambillah iktibar daripada kisah sebuah hadis riwayat Imam Al-Bukhari yang menceritakan berkenaan Hakim bin Hizam yang sering meminta-minta kepada Rasulullah.

Setiap kali dia meminta kepada Rasulullah, Baginda akan memberikannya. Namun setelah tiga kali dia datang meminta, Baginda bersabda: “Wahai Hakim, sesungguhnya harta di dunia ini memang indah dan manis, barang siapa yang mengambil harta di dunia dengan hati yang lapang yakni tidak bercampur dengan sifat ketamakan, nescaya akan dilimpahkan keberkatan dalam hartanya itu, tetapi barang siapa yang mengambil harta dunia dengan ketamakan, pasti tidak ada keberkatan dalam harta yang diperolehinya itu. Orang yang sedemikian ini adalah ibarat orang yang makan dan tidak pernah kenyang perutnya.

Tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah iaitu orang yang menerima pemberian berkenaan.”

Setelah Hakim mendengar akan teguran dan nasihat Rasulullah berkenaan sikapnya yang suka meminta-minta, sejak dari itu dia tidak lagi meminta-minta kepada sesiapa pun meskipun dia berada dalam kekurangan.

Inilah sikap terpuji yang patut dicontohi oleh kita semua. Janganlah kita menjadikan sebab kekurangan hasil pendapatan sebagai alasan untuk meminta-minta bantuan semata-mata bagi memenuhi keperluan hidup yang tidak mencukupi. Namun apa yang menyedihkan pada masa ini terdapat sebilangan orang yang meminta-minta wang daripada keluarga, jiran atau rakan, ataupun ke rumah orang yang tidak dikenali. 

Ada juga di antara mereka meminta-minta kepada pihak tertentu untuk mendapatkan bantuan kewangan dan lebih mendukacitakan terdapat juga segelintir orang yang tanpa segan selalu meminta wang daripada orang ramai di tempat awam seperti di kompleks beli-belah atau restoran dengan alasan hasil pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup.

Rezekinya halal tetapi caranya tidak betul. Walaupun seseorang itu ditakdirkan oleh Allah untuk menjadi orang miskin atau fakir, namun mereka tetap tidak digalakkan untuk meminta-minta.

Ini berdasarkan kepada sabda, dari Imran bin Husin berkata: Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyayangi hamba-Nya yang beriman yang miskin, yang tidak suka meminta-minta sedangkan dia mempunyai anak yang ramai.” (Riwayat Ibnu Majah).

Renunglah, betapa orang miskin lagi tidak digalakkan meminta-minta, apatah lagi orang yang berkemampuan. Sebagai hamba Allah kita hendaklah sentiasa bersyukur dan reda ke atas rezeki yang dikurniakan Allah.

Allah melarang kita daripada bersifat tamak dan haloba kepada harta benda sehingga sanggup mencari harta dengan cara meminta-minta.

Sebagaimana hadis riwayat Imam Al-Bukhari daripada Abdullah bin Umar berkata bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seorang yang terus-menerus meminta-minta kepada orang ramai, sehingga nanti dia akan datang pada hari kiamat dengan wajahnya yang hanya tinggal tulang, tidak ada lagi daging padanya.”


No comments:

Post a Comment