Cerita perebutan jawatan dalam persatuan bukanlah sesuatu yang luar biasa. Malah konspirasi menjatuhkan pemimpin persatuan yang ada juga sudah menjadi lumrah. Semua ini berlaku kerana semangat berpersatuan telah sedikit sebanyak diresapi oleh sikap politik yang buruk.
Perebutan menjadi lebih hebat jika melibatkan barisan pemimpin yang mempunyai agenda untuk kepentingan di luar persatuan. Jawatan dalam persatuan hanya sebagai satu platform untuk menonjolkan diri kepada khalayak bagi meraih kepentingan lain. Dengan jawatan yang disandang memudahkan mereka dikenali.
Sebab itu ada banyak pemimpin persatuan sebenarnya bukanlah daripada mereka yang berkecimpung atau berstatus yang melambangkan persatuan yang dipimpin. Syarat hendak menjadi ahli dan dipilih sebagai pemimpin tidak jelas. Jadi, sesiapa pun boleh menjadi ahli dan dipilih menjadi pemimpin persatuan berkenaan.
Sebab itu, jangan rasa pelik jika pemimpin persatuan pelajar bukan lagi dari golongan pelajar. Ada persatuan wartawan yang langsung tidak disertai oleh wartawan. Persatuan ibu tunggal dipimpin oleh ibu yang masih bersuami.
Itulah realiti persatuan di negara kita. Sesiapa saja yang ingin menjadi pemimpin boleh menyertai mana-mana persatuan yang dirasakan dia bakal terpilih menduduki kerusi kepimpinan. Dalam hal ini, pengaruh dan sumber kewangan menjadi faktor penentu.
Memang ada yang ikhlas ingin membantu golongan tertentu melalui penubuhan persatuan. Kalau hendak diharapkan golongan berkenaan sendiri menubuhkan persatuan, memang hampir tidak menjadi kenyataan. Niat murni itu patut dipuji dan disokong, tetapi janganlah sekadar hangat-hangat tahi ayam.
Menjadi pemimpin persatuan memerlukan seseorang sudah ada pengaruh dan kewangan yang kukuh. Pengaruh amat penting untuk dia terpilih menerajui persatuan biarpun baru menjadi ahli. Dia dibawa masuk persatuan pun semata-mata untuk terus diangkat menjadi pemimpin.
Ahli-ahli sudah mengenalinya melalui aktiviti lain yang telah disertai. Soal dia masih baru dalam persatuan tidak menjadi masalah. Jika ada ahli yang sudah lama dalam persatuan yang ingin menjadi pemimpin, terpaksalah dipendamkan sahaja hasrat itu. Kerana kecewa tidak berpeluang menjadi pemimpin, ada yang bertindak keluar persatuan atau tidak aktif lagi.
Dalam meraih sokongan dalam persatuan, pengaruh wang memang diperlukan untuk kempen meraih undi. Ini bukan soal rasuah persatuan, tetapi keperluan untuk mendampingi ahli-ahli. Tidak mungkin perjumpaan dengan ahli sekadar diadakan di tepi jalan. Kalaupun tidak di hotel, paling tidak tempatnya di restoran.
Dengan kata lain, politik untuk merebut jawatan dalam persatuan juga tidak kurang hebatnya dengan kempen memilih jawatan dalam parti politik. Lobi melobi mesti ada. Malah ada yang menubuhkan team bagi memastikan perjalanan kempen lebih kuat dan mencapai kemenangan secara berkumpulan.
Memang sudah menjadi trend di negara kita, kalau hendak menjadi pemimpin persatuan dengan cara mudah, tubuhlah apa-apapun persatuan, asalkan tidak bertentangan dengan undang-undang negara. Tubuhlah persatuan berkaitan belia, kebajikan atau bidang-bidang yang mirip dengan kerjaya.
Inilah yang dikatakan politik persatuan. Persatuan ditubuhkan untuk membolehkan seseorang bergelar menjadi pemimpin. Tidak kisahlah jika persatuan tidak aktif dan pemimpin menggunakan jawatan persatuan untuk sekadar bergelar pemimpin.
No comments:
Post a Comment