Sunday, 10 December 2023

SEJARAH CARI GALI PETROLEUM DI MALAYSIA

 
Sejarah industri minyak di Malaysia bermula dalam abad ke-19. Rakyat Bumiputera di Sabah dan Sarawak telah menyedari wujudnya serapan minyak atau 'minyak tanah' seperti dikenali di setengah-setengah tempat terutamanya di sekitar kampung Miri.

Julai 1882, Residen British di daerah Baram telah mencatatkan adanya penemuan minyak. Beliau mencatatkan penduduk Melayu tempatan menggunakan minyak untuk tujuan perubatan dan untuk menghidupkan lampu minyak dan juga sebagai campuran damar untuk menampal perahu.

Pada tahun 1909, syarikat minyak Anglo-Saxon iaitu syarikat asal kepada syarikat Sarawak Shell Berhad hari ini telah diberi hak untuk mengeksploitasi sumber petroleum yang terdapat di seluruh Sarawak.

Ogos 1910, minyak dijumpai di Kampung Miri. Telaga minyak pertama itu mengeluarkan 83 tong minyak sehari dan mencapai pengeluaran maksimum sebanyak 15,000 tong sehari. Sekarang, telaga minyak tersebut yang dikenali sebagai The Grand Old Lady menjadi tugu monumen sejarah yang boleh dilawati di Canada Hill, Miri, Sarawak.
 
Pada peringkat awal operasi cari gali hanya melibatkan kawasan dataran sahaja. Aktiviti minyak dan gas berkembang pesat pada 1960 dengan banyak penemuan dan pembangunan lapangan luar pesisir pantai (offshore). Lewat 1960 menyaksikan permulaan penerokaan minyak di pantai timur Semenanjung Malaysia.
 
Sekarang terdapat lebih 353 offshore platform di seluruh Malaysia. Kebanyakan platform di Malaysia berada pada shallow water (kedalaman cetek) manakala sejak 2002, aktiviti minyak dan gas negara bertambah menarik dengan penemuan lapangan laut dalam (deepwater) yang pertama kali di Malaysia, iaitu Kikeh, offshore Sabah.
 
Di Semenanjung, Kerteh, menjadi sebuah bandar industri minyak di Terengganu, Kerteh yang terletak kira-kira 2 jam perjalanan ke selatan Kuala Terengganu. Suasana Kerteh sangat berbeza dari bandar-bandar lain di negeri Terengganu.
 
Setelah pembinaan kilang petroleum ke bandar kecil ini, barisan rumah kediaman moden dibina untuk kakitangan di syarikat pemprosesan petroleum selain dari kilang penapisan beberapa kilometer jauhnya.
 
Ekonomi bandar kecil ini telah ditiupkan pada waktu malam yang berubah dari satu 'bandar kecil' ke bandar yang mempunyai peranan ekonomi yang penting bagi negeri ini. 

Memandu kenderaan melalui loji penapisan petroleum yang besar di waktu malam adalah pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan. Gas disertai dengan api terbakar yang keluar dari paip kelihatan tiba-tiba di atas tanah, seperti bandar di angkasa yang muncul di tengah-tengah langit.

No comments:

Post a Comment