Saturday 12 February 2022

PRN Johor untuk kesejahteraan rakyat

 
Ada pihak yang berpandangan bahawa Barisan Nasional (BN) perlu dikalahkan dalam Pilihan Raya Negeri Johor (PRN Johor) sebagai cara untuk mengalahkan Kluster Mahkamah. Apa sebenarnya kaitan Kluster Mahkamah dengan PRN Johor?

PRN Johor perlu diadakan setelah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) berkuatkuasa pada 22 Januari 2022.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudiannya menetapkan 12 Mac 2022 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Johor, sebelum pembubaran DUN, sudah berada di bawah kepimpinan seorang menteri besar daripada UMNO. Malangnya keadaan majoriti terlalu tipis mengakibatkan keadaan politik yang tidak stabil sehingga mengganggu fokus pentadbiran negeri.

Justeru, menteri besar berpandangan beliau memerlukan mandat yang lebih kuat dan politik negeri yang lebih stabil agar beliau dapat menumpukan perhatian membela rakyat dan membangunkan negeri.

Justeru, beliau memohon mandat rakyat dan menyerahkan kembali pilihan kepada rakyat.

Jadi, tidak jelas dari mana datangnya isu memberi kuasa kepada Kluster Mahkamah jika BN menang dari PRN Johor nanti? Hakikat sebenarnya, jika BN menang selesa, ia akan memberi kelebihan kepada BN untuk meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat Johor.  

Perlu dijelaskan, soal Kluster Mahkamah bukan isu Johor, malah bukan sama sekali isu PRN Johor, Melaka, Sabah, Sarawak atau mana mana negeri. Itu isu individu, persoalan undang-undang dan proses mahkamah.

Setiap PRN ada meritnya sendiri. Bagi PRN Johor, ia memberi mandat kepada rakyat Johor yang mahukan politik Johor yang lebih stabil, mandat yang lebih kukuh dan mengembalikan Johor kepada politik kemajuan dan pembangunan yang membawa kesejahteraan kepada negeri Johor.

PRN Johor perlu disambut oleh pengundi dan rakyat Johor demi kemajuan dan kesejahteraan Johor.

Rakyat Johor sudah merasai pengalaman dan mengenali semua parti dan personaliti. Sudah pasti atas pengalaman ini, rakyat Johor berupaya membuat penilaian sendiri. Rakyat Johor tidak akan tertipu sekali lagi.

No comments:

Post a Comment