Sunday 20 October 2024

TANGKAP HARIMAU DI HENTIAN DAMAI

 
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Jeli telah berjaya menangkap seekor harimau jantan di Hentian Damai, Batu 17, Jalan Raya Timur Barat, berhampiran sempadan Kelantan – Perak pada 19 Okt 2024.
 
Tangkapan itu berjaya dibuat hasil pemasangan perangkap yang dilakukan sehari sebelum itu (18 Okt 2024).
 
Pemasangan perangkap dilakukan hasil laporan polis yang dibuat kepada Perhilitan Daerah Jeli pada 17 Oktober 2024 (Khamis) jam lebih kurang 11 pagi, berkenaan serangan harimau terhadap manusia di Batu 18, Jalan Raya Timur Barat, Jeli.
 
Lanjutan itu, pada 18 Oktober 2024, Perhilitan Daerah Jeli bersama Unit Konservasi Harimau Malaya Negeri Kelantan telah memasang dua unit perangkap di ladang cili Thek Him Vegetables Resources dan di Hentian Damai.
 
Pada 19 Oktober 2024, jam lebih kurang 9 pagi, pihak Perhilitan Daerah Jeli telah membuat pemantauan perangkap dan mendapati perangkap yang dipasang di kawasan Hentian Damai telah dimasuki harimau belang.
 
Melalui pemerhatian, keadaan harimau jantan itu dilihat kurus tetapi masih agresif. Pemeriksaan lanjut mendapati hidupan liar terbabit berusia lebih kurang lapan hingga 10 tahun. Harimau ini akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak untuk tindakan lanjut.
 
Dalam kejadian pada Khamis (17 Okt 2024), seorang lelaki warga Myanmar maut dengan paha kiri terputus, dipercayai diserang harimau ketika berada di belakang rumah kongsi di ladang cili di Batu 18, Jalan Raya Timur Barat, dekat Batu Melintang di Jeli.
 
Sementara itu dua hari sebelumnya (15 Okt 2024), seorang lelaki tempatan Adnan Ismail, 54, maut diserang harimau belang ketika turun dari rumah kongsi Bagan Balak, berdekatan kawasan hutan di KM79.2  Jalan Raya Timur Barat, Bersia, Gerik.
 
Justeru, ada kemungkinan harimau ditangkap itu merupakan haiwan sama yang menyerang kedua-dua mangsa kerana jarak lokasi dua kejadian melalui Jalan Raya Timur Barat hanya kira-kira empat kilometer.

No comments:

Post a Comment