Rakyat perlu memahami prinsip ekonomi Islam yang bukan sahaja adil kepada semua peringkat rakyat, malah membawa kemakmuran kepada negara. Sistem ekonomi Islam memastikan tidak ada pihak menanggung keburukan atau kerugian dalam rantaian ekonomil.
Sebagai contoh dalam menjalankan perniagaan, semua rantaian aktiviti itu perlu adil dan memberi manfaat kepada pihak yang terlibat. Pengurusan dan pekerja perniagaan perlu dibayar gaji yang setimpal.
Jika tidak dibayar gaji dengan kerelaan pekerja, keadaan itu dibolehkan. Namun, keadaan itu hendaklah berlaku dengan kesedaran dan kerelaan yang tidak mendatangkan kesan buruk sampingan.
Sebaliknya, jika keadaan itu berlaku kerana pekerja dikelirukan disebabkan sesuatu fahaman yang tidak wajar, maka perbuatan itu adalah salah. Pekerja tidak boleh dilayan sebagai hamba yang menurut apa sahaja perintah majikan sehingga segala aspek kehidupan ditentukan oleh majikan.
Aktiviti perniagaan seperti itu bukan cerminan ekonomi Islam. Ekonomi Islam memastikan setiap peringkat yang terlibat mendapat hak masing-masing dengan adil, bukan hanya pihak tertentu sahaja mendapat keuntungan.
Penggunaan pekerja daripada golongan tidak sepatutnya seperti kanak-kanak yang perlu bersekolah adalah perkara yang ditegah. Kanak-kanak perlu diutamakan untuk belajar dan bukannya dikerah tenaga mereka untuk memberi keuntungan kepada syarikat atau organisasi.
Maka itu, pemimpin dan rakyat perlu memastikan hanya menyokong aktiviti ekonomi yang memberi keadilan dan kebaikan kepada semua pihak.
No comments:
Post a Comment