Saturday 25 June 2016

Sumbangan guru kepada ekonomi Kelantan


Guru adalah kerjaya profesional paling banyak di Malaysia. Lepasan universiti banyak menyertai bidang pendidikan berbanding kerjaya lain. Jadi, guru dihormati bukan saja kerana kerjayanya mulia, tetapi juga bila sebut guru sudah tentu paling kurang bergaji taraf diploma. Lumayan pendapatan guru. 

Guru dikenalpasti sebagai penyumbang utama kekuatan ekonomi Kelantan. Perbelanjaan guru memberi pusingan ekonomi yang menjana ekonomi Kelantan secara keseluruhannya.

Bilangan guru di Kelantan seramai 28,048. Purata anggaran pendapatan bulanan guru sebanyak RM3150 sebulan. Maka pendapatan yang dibayar kerajaan Pusat kepada guru yang bertugas di Kelantan ialah RM88 juta sebulan atau lebih RM1 bilion setahun.

Jika dianggarkan perbelanjaan guru di Kelantan sebanyak 60 peratus, jumlah sebulan ialah RM53 juta atau RM636 juta setahun. Jumlah perbelanjaan guru itu melebihi pendapatan dan perbelanjaan Kerajaan Kelantan iaitu kira-kira RM600 juta setahun. 

Itu pendapatan dan perbelanjaan guru yang berkhidmat di Kelantan. Sebenarnya, jumlah guru kelahiran Kelantan yang berkhidmat di seluruh Malaysia berjumlah 57,740 orang. 

Ini bermakna anak kelahiran Kelantan yang bertugas sebagai guru lebih ramai bertugas di luar Kelatnan. Sebab itu, amat sukar untuk guru dari Kelantan mendapat tempat untuk bertugas di Kelantan.

Guru kelahiran Kelantan yang bertugas di luar Kelantan sudah pasti membawa pulang berbelanja di Kelantan pada masa cuti mahupun memberi sumbangan tetap kepada keluarga masing-masing. 

Katakan seorang guru kelahiran Kelantan yang bertugas di luar Kelantan menghantar pulang wang sebanyak RM300 sebulan, jumlah terkumpul ialah sekitar RM1juta atau kira-kira RM12 juta setahun.

Begitu besar sumbangan guru Kelantan kepada kelangsungan ekonomi Kelantan. Itu baru dikira sumbangan guru. Bagaimana pula yang berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan, polis, tentera dan bomba? Tentu banyak. Maka itulah yang menyumbang kepada kekuatan ekonomi Kelantan. Sebab itu, urusan pengekonomian di Kelantan berjalan lancar dan boleh dikategorikan kaya. 

No comments:

Post a Comment