Tuesday 27 December 2016

Manuskrip al-Quran tertua

Manuskrip al-Quran tertua di dunia berusia 1,370 tahun yang ditemui dipercayai ditulis individu yang mengenali Nabi Muhammad SAW.

Tinggalan sejarah berharga yang dipercayai ditulis kurang 20 tahun selepas kewafatan Rasulullah itu milik Universiti Birmingham, London.

Analisis radiokarbon yang dilakukan di Universiti Oxford menunjukkan naskhah itu dihasilkan sekitar 568 hingga 645 Masihi dengan ketepatan 95.4 peratus.

Profesor Agama Kristian dan Islam universiti berkenaan David Thomas berkata: “Ujian itu memang penemuan mengejutkan di dalam koleksi universiti kami, malah manuskrip ini tidak mustahil dihasilkan dalam tempoh beberapa tahun pengasasan Islam.

“Nabi Muhammad menerima wahyu antara 610 hingga 632 Masihi bererti kemungkinan besar orang yang merekodkan manuskrip ini juga hidup pada masa itu, malah mungkin turut mengenalinya.

“Tulisan ini mampu menyokong pandangan bahawa teks al-Quran tidak diubah dan ditulis tidak lama selepas diwahyukan.”

Manuskrip berkenaan sebahagian daripada koleksi Mingana bagi manuskrip Asia Barat merangkumi dua kekulit serta ditulis menggunakan bentuk tulisan ‘Hijazi’ Arab lama.
Manuskrip itu akan dipamerkan di Institut Seni Halus Barbaer universiti terbabit, Oktober 2015.

Maklumat tambahan.
Mungkinkah naskah al-Quran itu adalah yang pertama ditulis pada zaman Abu Bakar atau Usman?

Sejarah penulisan naskah al-Quran lengkap pertama dilakukan pada zaman Khalifah Abu Bakar. Tugas mengetuai gerakan mengumpul ayat-ayat al-Quran dilakukan oleh Zaid bin Thabit. Beliau merupakan bekas jurutulis bagi Rasulullah.  

Beliau merupakan penulis tetap wahyu, selain beberapa lagi sahabat. Selain itu Zaid bin Thabit juga merupakan seorang ahli khat yang terbaik ketika itu.

Zaid bin Thabit sedar tanggungjawab diserahkan kepadanya amat berat dan dirasakan tugas tersebut lebih berat daripada memindahkan sebuah bukit.  Namun, demi melaksanakan satu tanggunjawab untuk kebaikan seluruh umat manusia, Zaid bin Thabit menerima dengan hati terbuka. 

Setelah kesemua ayat al-Quran berjaya dikumpul dan dibukukan, dan disahkan betul oleh sahabat yang hafal, ia disimpan di rumah Syidina Abu Bakar.  Ayat al-Quran yang lengkap satu buku itu dinamakan Mashaf Imam.  

Selepas kewafatan Syidina Abu Bakar, ia disimpan pula di rumah Syidina Umar sebagai khalifah dan selepas kewafatannya beralih pula kepada Hafsah binti Umar, isteri Rasulullah.

Pada masa pemerintahan Syidina Usman bin Affan, bilangan Mashaf Imam diperbanyakkan dan diedarkan keseluruh kawasan pemerintahan Islam.  Penyebaran itu bagi mengelak daripada berlakunya kekeliruan di kalangan penganut Islam di kawasan jauh dari pusat pemerintahan di Madinah, di mana sukar untuk membuat rujukan.

Selain dikirimkan senaskah al-Quran lengkap, turut dikirimkan seorang pembaca al-Quran yang mahir bagi membacakannya kepada penduduk di kawasan berkenaan agar dapat ditentukan keseragaman bacaannya. 

Selepas beberapa salinan Mashaf baru dibuat, Syidina Usman bin Affan mengarah agar Mashaf  asal dan catatan-catatan ayat al-Quran yang masih disimpan sahabat dibakar.  Mashaf baru kemudiannya dikenali Mashaf Usmani, yang kekal sekarang.

Pada mulanya penulisan huruf-huruf al-Quran tidak diberi tanda titik dan baris.  Pembacaannya dapat dilakukan dengan baik oleh umat Islam pada ketika itu.  Bagaimanapun, setelah Islam berkembang ke merata tempat, maka ia sukar untuk dibaca oleh orang bukan berbangsa Arab.

Untuk mengelak kekeliruan, ia diberikan titik dan baris.  Pada peringkat awal hanya baris ditambah.  Orang yang bertanggungjawab melakukan tugas tersebut ialah Abu Aswad Dauli semasa pemerintahan Muawiyah.

Seterusnya, pada zaman Abdul Malik bin Marwan, ia mula diberikan titik untuk membezakan huruf-huruf yang sama bentuknya.  Tugas tersebut disempurnakan oleh Nashar bin Ashim. 

No comments:

Post a Comment