Friday 30 December 2016

SYARAT MELAKUKAN IBADAT KORBAN

Ibadat korban atau menyebelih haiwan tertentu adalah amalan sunat yang amat dituntut dilakukan oleh mereka yang berkemampuan. Ibadat korban dilakukan sebagai mencontohi amalan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.

Penyebelihan haiwan korban perlu dilakukan pada waktu yang ditetapkan dan jenis haiwan tertentu. Menyembelih binatang korban hanya boleh dilaksanakan setelah selesai solat hari raya Aidiladha dan berlanjutan sehingga akhir hari Tasyriq, iaitu tiga hari selepas solat hari raya Aidiladha.

Oleh itu, penyembelihan haiwan korban boleh dilaksanakan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Imam Syafie berkata: "Waktu menyembelih haiwan korban adalah ketika imam telah selesai solat Aidiladha. Apabila hari-hari Mina telah berlalu (tarikh 11, 12 dan 13 Zulhijjah), tidak boleh lagi menyembelih korban." - Rujuk Kitab Mukhtasar Kitab al-Umm fi al-Fiqh karya Imam Syafie, edisi terjemahan bertajuk Ringkasan Kitab al-Umm, Peringkas dan peneliti Hussain Abdul Hamid Abu Nashir Nail, Pustaka Azzam, Jakarta (2004), jil. 1, m.s. 737.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya perkara pertama yang kita mulakan pada hari ini (Aidiladha) ialah kita solat kemudian menyembelih (bintang korban). Oleh itu, sesiapa yang melakukan sebegitu dia telah menepati sunah kami. Sesiapa yang menyembelih sebelum solat, sesungguhnya sembelihan itu hanyalah menjadi daging untuk diberikan kepada keluarganya (sedekah) bukan termasuk binatang korban." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1961

Sabda Rasulullah SAW:  "Sesiapa yang menyembelih sebelum dia solat (Aidiladha), dia hendaklah mengulanginya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5561.

Sabda Rasulullah SAW: "Seluruh hari Tasyriq merupakan waktu penyembelihan." - Hadis riwayat Ahmad di dalam Musnad Ahmad, hadis no: 16151. 2.

Haiwan korban tersebut tidak memiliki kecacatan. Ia sesuai dengan status 'pengorbanan' yang tentunya hanya yang baik dijadikan korban tanda keikhlasan dan takwa.

Kita hendaklah pastikan bahawa haiwan yang hendak kita korbankan tersebut adalah dari jenis baka yang baik serta tidak memiliki kecacatan seperti buta, kurus, tanduk patah, telinga terkoyak, lemah dan penyakit lain. Jika haiwan itu disembelihkan juga, maka perbuatan itu hanya layak dipanggil penyebelihan biasa.   

Sabda Rasulullah SAW: "Empat jenis binatang yang tidak dibolehkan dalam ibadah korban: Buta sebelah matanya yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang yang jelas bengkoknya, tidak berdaya berjalan dan yang tidak mempunyai lemak (kurus)." - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, 2420.

Tidak gunting rambut dan potong kuku. Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dia tidak boleh menggunting rambut dan memotong kukunya semenjak tarikh 1 Zulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.

Sabda Rasulullah SAW: "Jika telah masuk sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya walau sedikit." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1977.

Larangan memotong rambut ini termasuk juga mencabut mahupun mencukur atau apa-apa cara yang boleh menghilangkan segala jenis rambut dan bulu di badan. 

Menurut Imam al-Nawawi: "Yang dimaksudkan dengan larangan memotong kuku dan rambut adalah larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut baik sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa jua cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atu bulu-bulu lain di bahagain anggota badan yang lain." – Rujuk Kitab Syarh Muslim karya Imam al-Nawawi, jil. 13, ms. 138-139. 

Diukil dari kitab Ahkaam al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah karya Syeikh ‘Ali bin Hassan al-Halabi al-Atsari, edisi terjemahan dengan tajuk Meneladani Rasulullah Dalam Berhari Raya, Pustaka Imam asy-Syafie, Jakarta (2005), ms. 98.

Bagi mereka yang sengaja mahupun tidak sengaja memotong kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia memohon keampunan atau menyesal akan perbuatan itu.

Dia tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda). Ibn Qudamah berkata: "Jika perkara itu berlaku, dia hendaklah segera beristighfar (memohon ampun) kepada Allah. Menurut ijmak tidak ada fidyah sama sekali, baik dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja." - Rujuk Kitab al-Mughni karya Ibn Qudamah, jil. ms. 96. Dinukil dari kitab Ahkaam al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah karya Syeikh ‘Ali bin Hassan al-Halabi al-Atsari, ms. 99 4.

Seekor unta, lembu dan kerbau boleh dibahagikan kepada 7 bahagian. Jabir berkata: "Kami pernah menyembelih (haiwan korban) bersama Rasulullah SAW ketika di Hudaibiyah. Seekor unta untuk 7 orang dan menyembelih lembu untuk 7 orang bersama-bersama Rasulullah SAW" - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1318.

Haiwan lain yang boleh dikorbankan ialah kibas, biri-biri dan kambing yang diternak dan jinak. 

Boleh berkorban untuk diri sendiri serta ahli keluarganya. Seseorang dibenarkan berkorban serta berkongsi pahalanya bagi dirinya sendiri serta bagi pihak keluarganya sekalipun jumlah yang ramai dan hanya dengan seekor kambing atau sebahagian dari tujuh bahagian itu.

Atha bin Yassar pernah bertanya kepada Abu Ayyub al-Ansori tentang cara berkorban pada zaman Rasulullah SAW. Lalu Abu Ayyub menjawab: "Dulu seseorang berkorban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya lalu mereka memakannya dan membahagikannya kepada orang lain." - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1425.

No comments:

Post a Comment