Wednesday 22 November 2017

UNTUNG KELUAR ZAKAT

Allah SWT telah merakamkan penganugerahan kelebihan dan keuntungan kepada hambaNya yang telah membelanjakan hartanya pada jalan Allah SWT melalui al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Maksud firman Allah di dalam surah al Baqarah: "Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya." - (Surah al-Baqarah: 261)

Orang yang berzakat itu, apabila mengeluarkan zakatnya tentu mendapat pahala yang besar dan ganjaran yang mulia disamping memperoleh faedah dan keuntungan dunia dan akhirat. 

Di dalam harta itu terdapat beberapa bahaya, fitnah dan bencana yang tidak akan terlepas dari seseorang yang berharta itu melainkan setelah ia mengeluarkan zakatnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Jika anda menunaikan zakat hartamu dengan senang hati, maka sebenarnya anda telah terselamat dari bencananya ”

Demikianlah pula harta yang telah dizakatkan itu tidak akan ditimpa kerosakan dan kebinasaan.  Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tidak akan binasa harta yang dilaut ataupun didarat melainkan dengan menahan (tidak mengeluarkan) zakatnya.”

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: "Bentengi harta kamu dengan mengeluarkan zakat dan ubati penyakit-penyakit kamu dengan mengeluarkan sedekah”

Harta yang telah dizakatkan itu terbenteng dan terpelihara dalam pemeliharaan Allah SWT kerana harta itu bersih dan telah diberkati. Manakala harta yang tidak dizakatkan itu adalah harta yang tersia-sia kerana ianya kotor dan tidak diberkati

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ” Tiada sesuatu harta yang bercampur dengan zakat (tidak dizakatkan) melainkan ia memusnahkannya”

Tiada untung memiliki harta yang telah terangkat atau terhapus berkatnya. Apa yang tinggal hanya bencana dan fitnah semata-mata. Banyak kes terhapus keberkatan harta, hingga pemiliknya yang asalnya kaya raya menjadi miskin dan papa kedana. 

Hilang keberkatan harta juga menyebabkan pemiliknya hidup penuh gelisah dan keluh kesah, mereka bosan terhadap ketentuan Allah SWT. Perkara serupa ini sering menimpa ke atas ramai orang yang mengambil mudah terhadap kewajipan zakat.

Ada kalanya terhapusnya berkat dari sesuatu harta itu secara batin. Harta yang dikumpul itu tetap ada di tangan, semakin hari semakin bertambah namun tuannya tidak pula memanafaatkan harta itu. 

Sama ada pada kepentingan agamanya seperti menginfaqkannya ke jalan kebajikan mahupun pada kepentingan diri sendiri seperti membelanjakannya untuk menutup hajat dan keperluan hidup seharian.

Sebaliknya ada pula yang terus hidup dalam kecelakaan dan kesusahan kerana mereka sayang hendak mengeluarkan hak (zakat) harta itu tetapi tidak sayang untuk mengeluarkannya pada jalan-jalan yang ditegah oleh agama Allah seperti membelanjakannya untuk berbuat maksiat dan seumpamanya.

Mudah-mudahan Allah melindungi kita daripadanya ataupun membelanjakannya pada memburu nafsu dan syahwat kebinatangan yang tidak akan mendapat faedah atau hasil yang baik di dunia mahupun di akhirat.

No comments:

Post a Comment