Friday 15 January 2021

SOP MASJID BAWAH BIDANG KUASA NEGERI - ISMAIL SABRI


Perlembagaan Persekutuan menetapkan urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah naungan raja-raja bagi negeri-negeri. Bagi negeri-negeri tanpa raja, bidang berkaitan agama di negeri berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Yang Dipertuan Agong.

Urusan dan bidang kuasa itu termasuk isu berkaitan masjid dan surau sepanjang Covid-19 ini.

Kerajaan Pusat melalui kementerian berkaitan boleh mengusulkan cadangan melalui Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia untuk penelitian Pihak Berkuasa Agama Negeri namun keputusan akhir adalah sepenuhnya hak mutlak dan bidang kuasa negeri di bawah naungan raja- raja bagi setiap negeri.

Sebarang prosedur operasi standard (SOP) adalah hasil resolusi jawatan kuasa muzakarah yang dianggotai Mufti-Mufti seluruh Malaysia selaku pihak berkuasa agama negeri dan Ahli-Ahli Dilantik Majlis Raja-Raja sebagai satu panduan bersama sebelum dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing. 

Pandangan dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara juga diutamakan atas faktor kepakaran dan maklumat yang terperinci berkaitan isu-isu kesihatan dan keselamatan.

Sebagaimana amalan kebiasaan, resolusi muzakarah akan dibawa sebagai sembah maklum kepada Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja sebagai satu pandangan dan nasihat untuk dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri. 

Dengan kata lain, pembukaan dan SOP masjid tertakluk kepada kuasa Pihak Berkuasa Agama Negeri selepas mendapat perkenan Raja setiap negeri.

Malang sekali perkara ini masih tidak difahami kebanyakan rakyat, termasuk di kalangan mereka yang berpengaruh dan arif dalam urusan agama.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya menerima banyak persoalan dan kiriman video mempertikaikan berkaitan pembukaan masjid termasuk daripada penceramah yang menyalahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan SOP ketat aktiviti di masjid.

"Saya ingin tegaskan segala urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah naungan raja-raja setiap negeri.

"Contoh, sekiranya masjid dibuka untuk lima orang sahaja maka keputusan itu adalah di bawah perkenan Sultan negeri berkenaan," katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

No comments:

Post a Comment