Saturday 3 April 2021

PAS UMPAMA CAK KAPOK ULAR LIDI

Pas sudah biasa keluar masuk gabungan parti. Kata orang macam ‘cak kapok ular lidi’. Bergerak ke sana ke mari mencuba nasib. Nampak macam hebat, tetapi bisanya tidak seberapa.

Pas adalah salah satu parti komponen yang menubuhkan Barisan Nasional (BN). Pas keluar BN apabila berlaku krisis dalaman dalam parti tersebut sehingga Kelantan diiystiharkan MAGERAN 1977.

Pas bersama Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan gabungan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) sehingga berjaya menumbangkan BN di Kelantan dalam pilihan raya tahun 1990.

Namun, Semangat 46 meninggalkan Pas setelah dirasakan banyak ‘pengkhianatan’ Pas yang menodai perjanjian kerjasama. Pas dilihat lebih mementingkan diri.

Jawatan Timbalan Menteri Besar Kelantan yang dijanjikan kepada Semangat 46 diisi oleh pemimpin Pas secara tergesa-gesa. Namun, atas desakan Semangat 46 berdasarkan persetujuan awal, maka dilantik seorang lagi Timbalan Menteri Besar dari Semangat 46 yang menjadikan ada dua orang untuk jawatan tersebut.

Hasil gabungan dalam APU, Pas berjaya memerintah Kelantan dan kekal sehingga sekarang.

Pas tidak menyertai Gagasan Rakyat yang aktif sekitar 1990 hingga 1996 dengan alasan ia turut disertai DAP. Namun, kemudian Pas menyertai Barisan Alternatif (BA) biarpun ada DAP di dalamnya. Parti lain dalam BA ialah Keadilan dan PRM untuk menghadapi PRU tahun 1999.

Pas sekali lagi bersama DAP apabila menyertai Pakatan Harapan (PH). Namun, Pas keluar meninggalkan PH.

Pasca PRU14, Pas bersama UMNO menandatangani Piagam Muafakat Nasional (MN). Namun, tidak lama selepas itu, Pas bergabung dengan Bersatu menubuhkan atau menjadi komponen Pari Perikatan Nasional (PN).

Berdasarkan sejarah, Pas memang sudah biasa keluar masuk gabungan parti. Jadi, tidak perlulah UMNO menaruh harap untuk Pas kekal dalam MN.

Kini telah menjadi kenyataan. Pas lebih memilih Bersatu.

Bersatu dan Pas akan terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menurut kenyataan bersama kedua-dua parti itu 31 Mac 2021.

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung Pas dan Bersatu, Takiyuddin Hassan dan Hamzah Zainudin.

“Bersatu dan Pas sentiasa komited untuk memperkukuhkan penyatuan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk, bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mendokong konsep tersebut.

“Sekaligus menolak sebarang usaha untuk merungkaikan perpaduan yang telah sedia terjalin dan sebarang percubaan menggugat kerajaan PN yang dibina secara bersama,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Sebenarnya tindakan Pas bersama Bersatu lebih kepada untuk terus berkuasa. Sudah lama Pas berjuang untuk kuasa dan tentu sekali tidak akan melepaskan apabila mendapatnya.

1 comment: