Saturday 4 November 2023

TUGAS TOK SEMIAN MENULIS SURAT RAJA

 
Pada abad ke-19 hingga awal abad ke-20, tugas-tugas kesetiausahaan seperti menulis surat-surat diraja dan surat- surat rasmi kerajaan Kelantan telah dilaksanakan oleh "Semian" (Tok Semian).
 
Perkataan "semian" berasal dari bahasa Siam yang bermakna "jurutulis". Pada akhir abad ke-19, pejabat Semian terletak di bangunan panjang yang diperbuat daripada kayu di hadapan Istana Balai Besar dan dikenali sebagai "Opis Panjang" yang dibina pada awal pemerintahan Sultan Mansor (1891-1899).

Salah seorang Tok Semian ialah Wan Abdul Rahman Bin Lebai Muda yang bertugas sebagai semian kepada Sultan Muhammad II.  
 
Di Kota Bharu terdapat sebatang jalan yang dikenali Jalan Tok Semian, sebagai mengiktiraf sumbangan Wan Abdul Rahman sebagai Tok Semian. 

Jalan ini sekarang bermula dari persimpangan Jalan Belakang Istana di hadapan pintu pagar Sekolah Kebangsaan Merbau, menuju ke tebing Sungai Kelantan melepasi Jalan Sultanah Zainab, Jalan Post Office Lama dan terus ke Jalan Atas Paloh sebagai penghujung. Panjang Jalan Tok Semian lebih kurang 800 meter.
 
Jalan Tok Semian adalah jalan yang cukup terkenal pada masa dahulu kerana di sepanjang jalan tersebut terdapat deretan rumah yang menjadi tempat tinggal para ulama dan pelajar yang mencari ilmu di Masjid Muhammadi yang terletak tidak jauh darinya.

Pada masa dahulu, ahli keluarga Tok Semian banyak yang tinggal sepanjang jalan tersebut.  

No comments:

Post a Comment