Friday, 6 December 2024

SERUAN SERANG HANTARAN UTUSAN ONLINE

Banyak pengguna di media sosial, khususnya Facebook kecewa dan marah dengan tajuk hantaran di halaman Utusan Online “Titah adendum penahan rumah Najib palsu”. Penyokong Datuk Seri Najib pasti marah kerana menganggap Utusan Online telah mengatakan bahawa adendum itu palsu.  Maka ada seruan agar "menyerang" kiriman tersebut.

Hakikatnya, tajuk itu sebenarnya merujuk kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa yang menafikan satu kenyataan media berhubung adendum penahanan rumah dikeluarkan pihaknya. Maknanya, yang dilaporkan oleh Utusan Online itu adalah berkaitan kenyataan palsu yang kononnya dikeluarkan oleh Zalihan. 

Utusan Online tidak merujuk sama ada benar atau palsu tentang kewujudan titah adendum dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah. 

Jadi, berhati-hati dalam memahami sesuatu tajuk berita. Jangan kita tersilap langkah disebabkan terburu-buru.  

Polemik mengenai adendum kembali tular sejurus titah adendum dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah. 

Pada 22 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Disember 2024 untuk mendengar rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan bagi memulakan semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum. 

Bagaimanapun, panel hakim, yang terdiri daripada Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli, dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, kemudian menangguhkan pendengaran rayuan Najib apabila Najib memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya bagi menyokong dakwaannya tentang kewujudan Titah adendum diraja yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun kepada tahanan di rumah. 

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memaklumkan bahawa permohonan terbabit difailkan pada 3 Disember 2024. 

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, yang mewakili kerajaan Malaysia dan tujuh responden lain, memaklumkan mahkamah bahawa beliau memerlukan lebih masa untuk mengesahkan dokumen yang dikemukakan melalui afidavit yang dilampirkan bersama permohonan Najib. Beliau berkata dokumen terbabit tidak ditandatangani.

Perkembangan terbaru ini, Hakim Azizah turut mengarahkan pengurusan kes diadakan bagi menetapkan tarikh baharu untuk pendengaran permohonan dan rayuan Najib.

Titah Adendum itu didakwa dititah oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.

Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib, untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas lapan responden bagi mencabar kewujudan Titah Adendum itu, selepas berpendapat empat afidavit bagi menyokong permohonan Najib, termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.

No comments:

Post a Comment