Sikap rakyat Malaysia yang seolah-olah
segan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah satu
situasi yang mengejutkan. Situasi itu jelas menunjukkan penjajahan minda serta
menyerlahkan krisis keyakinan terhadap bahasa Melayu, kononnya ia tidak
mempunyai nilai ekonomi, standard, serta mutu tersendiri.
Ia sama sekali berbeza dengan mentaliti bangsa
negara-negara yang maju seperti Perancis, China dan Jepun. Malah negara
serantau seperti Thailand dan Indonesia amat berbangsa dengan bahasa kebangsaan
mereka.
Memang pelik, Malaysia ada bahasa sendiri,
tetapi segan digunakan di kalangan rakyat. Di negara yang maju ini mereka
bangga menggunakan bahasa mereka sendiri. Sebagai tanggungjawab patriotik rakyat
Malaysia, bahasa Melayu mestilah didaulatkan dan diberi keutamaan oleh semua
kalangan dan dalam semua keadaan.
Bukan tidak ada usaha untuk memartabatkan
bahasa Melayu, tetapi ia seperti tidak seperti diharapkan. Rakyat masih meremehkan
soal berbahasa Melayu dalam aktiviti harian, terutama di kalangan profesional
dan golongan elit.
Jati diri bangsa terletak pada ukur tara
bahasa, bangsa dan kesenian, jadi majunya bangsa itu bukan setakat sains dan
teknologi tetapi juga dari sudut pemikiran dan budaya. Bahasa sebagai simbol
utama budaya, warisan dan pandangan hidup bersama menjadi lebih penting kepada
jati diri Malaysia yang berbilang kaum dan kepercayaan, terutama kini susulan
bercambahnya pelbagai aliran kepentingan dan pemikiran yang cenderung ke arah
penyepaian negara, bukan kesatuannya.
Maka bahasa yang kita laksanakan iaitu
Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, perlu kita angkat, martabat dan
perkasakan. Langkah itu bertepatan dengan dasar dan cita-cita negara seperti
yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Bahasa
Kebangsaan.
Sikap cuai dan sambil lewa berhubung
penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi rasmi pertama dalam kalangan rakyat tidak boleh diterima sama sekali kerana jelas berlawanan dengan identiti Malaysia, selain mengkhianati usaha serta aspirasi perpaduan dan jati diri kebangsaan.
Pertimbangan berkait penggunaan rasmi
bahasa lain selain Bahasa Melayu, sama ada untuk tujuan ekonomi, sosial,
pelancongan, diplomasi dan sebagainya, hanya boleh diterima sekiranya ia tidak
mengetepikan atau menjejaskan kedudukan dan keutamaan bahasa kebangsaan itu.
No comments:
Post a Comment