Friday, 30 December 2016

KEUPAYAAN PEMIMPIN MENJADI TONGGAK KEJAYAAN UMMAH

Sejarah membuktikan kemajuan dicapai negara umat Islam bergantung kepada kemampuan dan kewibawaan pemimpin mentadbir negara. Umat Islam berada di kemuncak kegemilangan di zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW. Nilai-nilai kemanusiaan, nilai kebenaran, keadilan dan berkasih sayang dihayati dengan sempurna dan diteruskan oleh kepimpinan Khalifah ar-Rashidin.

Kemampuan seseorang pemimpin menerapkan  nilai-nilai tersebut di dalam sesebuah negara akan  menjadi penentu kepada kemajuan tamadun umat manusia semasa. Sekiranya berlaku di sebaliknya maka kepincangan hidup manusia akan berlaku dan pelbagai masalah akan wujud.  

Untuk mengelak berkeadaan sedemikian maka seorang pemimpin itu perlu memahami dan mendalami ciri-ciri yang perlu ada di dalam sebuah negara Islam.

Sesebuah negara perlu mematuhi syariat Allah SWT dari segi perlembagaan dan segala urusan pemerintahan. Di dalam Islam, Allah SWT tidak mengira bangsa, warna kulit, pangkat, harta, kaya, miskin dan mereka semuanya adalah hambaNya yang mesti mematuhi apa suruhan dan laranganNya. 

Manusia tidak boleh berlagak menjadi Tuhan dan sebarang perbuatan yang melanggar syariat Allah SWT adalah syirik.

Sesebuah negara Islam akan berjaya sekiranya mendapat sokongan yang padu daripada rakyat. Kewujudan satu-satu negara Islam adalah melalui proses kehendak manusia itu sendiri apabila mereka menyokong syariat Islam.

Negara Islam akan terbentuk apabila adanya golongan yang beriman kepada Islam. Melalui ilmu dan perjuangan yang dicari, dipertahankan, maka terhasilah keimanan yang sebenar. Mereka yang mempunyai matlamat yang jitu tidak akan mudah tergoyah dengan anasir-anasir jahat yang akan meruntuhkan tembok keimanan mereka.

Sejarah telah membuktikan bahawa kemajuan yang  dicapai oleh negara umat Islam banyak bergantung kepada kewibawaan kepimpinan mengendali dan mentadbir sesebuah negara. 

Kegemilangan umat Islam mencapai kemuncaknya di zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW. Nilai-nilai kemanusiaan dihayati dengan baik dan sempurna seperti nilai kebenaran, keadilan dan kasih sayang dalam kehidupan bernegara. Kemuliaan tamadun tersebut diteruskan pula di zaman pemerintahan Khalifah ar-Rashidin.

Kemampuan seseorang pemimpin melaksanakan nilai-nilai tersebut boleh menjadi penentu kepada kemajuan umat Islam. Jatuh bangunnya umat Islam itu bergantung kepada cara pemerintahan dan penghayatan seseorang pemimpin di dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. 

Seorang pemimpin yang berjaya dunia akhirat adalah seorang pemimpin yang memerintah dengan bersandarkan al-Quran dan al-Hadis sebagai rujukan utama.

Pemimpin yang berilmu. Seorang pemimpin yang berjaya seharusnya mempunyai ilmu dan pemikiran yang mantap dan mampu mengendalikan negara bersandarkan al-Quran dan al-Hadis. 

Pemimpin yang sebegini mampu menangani sebarang masalah yang timbul yang memerlukan penyelesaian secara bijak pandai tanpa mencacat celakan sistem pemerintahan.

Pemimpin yang tidak berilmu dan tidak mengamalkan nilai kemanusiaan boleh menyebabkan sistem pengendalian negara menjadi longgar dan tidak mantap. 

Apabila keadaan sebegini berlaku maka keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat seperti amalan rasuah, amalan menindas, menipu dan sebagainya akan meruntuhkan sesebuah sistem sosial bernegara.

Kepemimpinan negara juga perlu dikendali oleh ahli politik yang pintar serta berkemampuan. Kebolehan ini penting kepada pemimpin politik yang akan diamanahkan untuk menerajui sesebuah negara. Kejayaan kepimpinan Rasulullah SAW dan Khalifah Al-Rashidin adalah satu bukti yang nyata.

Kepimpinan negara dan kerajaan mempunyai tugas dan kewajipan yang besar. Pelbagai aspek dalam negara di bawah tanggungjawab pihak kerajaan. Namun tujuan utama dalam amanah kepimpinan ialah seruan ke arah kebaikan dan pencegahan daripada perkara mungkar.

Adalah menjadi kewajipan kepimpinan sebuah negara Islam menjaga agama. Beberapa langkah telah disebut oleh al-Mawardi sebagai asas penjagaan agama.

Beliau menjelaskan kewajipan kepimpinan dalam karyanya al-Ahkam al-Sulthaniyyah: “Kepimpinan diasaskan bagi menggantikan tugas  kenabian dalam urusan menjaga agama dan mentadbir dunia (dengan agamanya)”  

No comments:

Post a Comment