Monday, 4 July 2022

MASJID ZAHIR ALOR SETAR

 
Masjid Zahir dikenali juga Masjid Zahrah merupakan masjid negeri Kedah. Bangunan bersejarah ini terletak di tengah-tengah bandar raya Alor Setar. Ia juga dikenali Masjid Raja.

Masjid Zahir merupakan mercu tanda terkenal di Alor Setar, dengan ciri kubah hitam, iaitu satu kubah utama dan lima kubah lebih kecil, yang melambangkan lima Rukun Islam. Masjid Zahir tersenarai antara masjid tercantik di Malaysia.

Reka bentuk masjid ini diilhamkan daripada Masjid Azizi di Langkap. Sumatera Utara. Upacara perasmiannya dilakukan pada hari Jumaat, 15 Oktober 1915 bersamaan 6 Zulhijjah 1333H oleh Sultan Abdul Halim Shah. Tunku Mahmud telah membaca khutbah Jumaat sementara baginda Sultan Abdul Hamid Shah mengimamkan solat Jumaat.

Masjid Zahir mempunyai keluasan tapak kira-kira 124,412 kaki persegi. Dewan tengahnya (dewan solat) berukuran 62 x 62 kaki persegi dan dikelilingi oleh beranda berukuran 8 kaki lebar dengan 4 anjung yang setiap satunya terdapat sebuah kubah. Pembinaan masjid ini mengambil masa selama 3 tahun.

Sejarah pembinaan Masjid Zahir bermula pada tahun 1735, iaitu melalui tapak asal yang dibina dengan sebuah masjid yang dikenali ‘Masjid Lama’. Masjid Lama ini telah dibina pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Alidin II yang juga dikenali Marhum Kota Setar. Masjid ini telah dibina di atas perkuburan orang Islam yang mati syahid semasa Siam melanggar Kedah (1821).

Seni bina Masjid Lama Itu, adalah seni bina Melayu yang berbumbung atap nipah dan diperbuat daripada kayu. Reka bentuk masjid ini seperti Masjid Kampung Laut Di Kelantan. Masjid Pengkalan Kakap Di Kuala Muda, Kedah Dan Masjid Ulu Melaka, Langkawi.

Masjid Lama hanya boleh memuatkan ahli jemaah seramai 600 orang. Disebabkan penduduk yang semakin meningkat dan raja inginkan sebuah masjid yang cantik, maka kerja-kerja pembinaan masjid baharu dimulakan pada hari Isnin 11hb. Mac 1912 Bersamaan 22 Rabiul Awal 1330H. Untuk memberi laluan kepada pembinaan tersebut, Masjid Lama dipindahkan ke Alor Merah.

Pemilihan kawasan itu dipengaruhi oleh beberapa faktor. Di samping pembinaan masjid, Sultan juga telah membina istana yang berdekatan dengan kawasan tersebut iaitu Istana Kuning atau Istana Pelamin.

Konsep membina istana berdekatan dengan masjid merupakan konsep asas dalam sesebuah pemerintahan. Ini bertujuan bagi memudahkan Sultan berulang-alik ke masjid setiap kali menunaikan solat.

Tambahan, masjid termasuk dalam istiadat pertabalan diraja. Contohnya Sultan Muhammad Jiwa apabila ditabalkan menjadi Sultan di Balai Besar, baginda menaiki gajah menuju ke masjid untuk sembahyang.

Jadi kombinasi di antara istana, masjid dan balai besar adalah bertepatan dengan sesuatu upacara diraja yang dijalankan.

Sebagai ibu negeri, masjid perlukan khidmat dari mufti dan kadi besar bagi menjalankan sesuatu perkara yang berlandaskan hukum agama.

Oleh itu, terdapat pertalian yang rapat di antara sultan dengan golongan alim ulama dalam merujuk sesuatu perkara. Jadi, masjid amat perlu didirikan berdekatan dengan istana sultan.

Adanya Sungai Kedah yang berhampiran dengan kawasan masjid memudahkan penduduk di sekitarnya datang bersembahyang. Ini kerana sungai pada ketika dahulu alat pengangkutan yang utama di samping memudahkan para jemaah mengambil wuduk.

Masjid ini dibina atas daya usaha Tunku Mahmud Ibni Sultan Ahamad Tajuddin Mukarram Syah, yang menjadi Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Negeri.

Pembinaan masjid ini dilakukan ketika baginda memangku tugas Sultan Abdul Hamid Syah. Pada Tahun 1912, masjid ini dikenali sebagai Masjid Diraja dan masjid ini secara rasminya telah dibuka pada tahun 1915. Pada tahun 1955, masjid ini diiktiraf sebagai masjid negeri.

Bagaimanapun kerja-kerja melukis plan masjid telah ditugaskan kepada J. Gorman dan Pak Din oleh baginda Sultan. Penggantian Masjid Lama dengan Masjid Zahir menjadikan negeri Kedah antara negeri yang mempunyai masjid tercantik dan tertua.

Terdapat suatu keunikan mengenai asal usul nama masjid ini. Masjid ini diberi nama Masjid Zahir semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid Syah dan Tunku Mahmud pada tahun 1915 Masihi.

Menurut Arabic – English Dictionary, ‘zahhar’ bermaksud ‘penjual bunga’, ‘zahirun’ pula bermaksud ‘bekas bunga’. Perkataan ‘azhara’ pula bererti berbunga dan perkataan ‘zahra’u’ pula membawa maksud berkilau-kilauan atau bersinar.

Berdasarkan kepada terjemahan tersebut, pengertian yang boleh diberikan kepada perkataan ‘zahir’ ialah melambangkan bunga sebagai sesuatu yang cantik.

No comments:

Post a Comment