Baiah
adalah perjanjian atau persetujuan yang dibuat secara kerelaan antara individu
dengan individu atau pihak lain dengan bersaksikan kalimah Wallahi, Wabillahi
dan Watallahi.
Terdapat
beberapa ayat dalam al-Quran dan salah satunya ialah ayat 111 dalam surah
at-Taubah menerangkan tentang janji dan baiah.
Firman
Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang
yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa
mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka
(di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang
demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam
(Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih
menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan
yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang
seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (Surah
at-Taubah, ayat 111)
Setiap
baiah perlu dilaksanakan atau dipatuhi. Jika ada dalam baiah itu melibatkan
ikatan perkahwinan seperti jika melanggar baiah itu akan menyebabkan tercerai
isteri, maka baiah itu turut melibatkan unsur taklid. Maka, jika dilanggar
baiah itu, maka jatuhlah talak kerana ia sudah menjadi seperti taklid.
Justeru
jangan mudah melakukan baiah hanya kerana inginkan kepada sesuatu. Kaji
dulu kesan baik dan buruknya, terutama apabila tidak mampu untuk mengikuti dan
melaksanakan baiah itu.
Mungkin
pada ketika ingin melakukan baiah itu dirasakan mampu menunaikan kandungan
baiah itu, tetapi keadaan hidup kita sentiasa diuji dan mengalami
perubahan. Apa yang dipersetujui itu mungkin berubah kepada sebaliknya.
Sesiapa
yang melanggar baiah bukan saja mendapat pembalasan di akhirat, namun sumpah
itu ditakuti akan terkena balasannya di dunia ini. Ia bukan saja memberi kesan
kepada individu terbabit, bahkan ahli keluarga dan masyarakat.
Setiap
baiah tidak boleh ditarik balik kecuali diterima atau dibenarkan oleh pihak
yang menerima baiah itu.
Janganlah
kita melakukan dosa setelah sebelum itu kita benar-benar ingin melakukan
kebaikan. Jangan kerana awalnya kebaikan ingin dicapai, sebaliknya
keburukan pula yang terpaksa ditanggung disebabkan kejahilan dan sikap tidak
usul periksa.
Firman
Allah SWT yang bermaksud: "Dan Allah tidak sekali-kali menjadikan sesuatu
kaum itu sesat sesudah Ia memberi hidayah petunjuk kepada mereka, sebelum Ia
menerangkan kepada mereka apa yang mereka wajib memelihara dan melindungi diri
daripadanya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah
at- Taubah, ayat 115)
No comments:
Post a Comment