Saturday 21 July 2018

JANGAN TAKUT HADAPI CABARAN PERKAHWINAN

Perkahwinan ikatan halal membolehkan lelaki dan perempuan menjalani kehidupan mengikut keinginan dan keperluan mereka. Melalui perkahwinan lelaki dan perempuan akan mengecapi nikmat hidup yang lebih bermakna. Secara tabie, lelaki dan perempuan saling memerlukan bagi melengkapkan kehidupan sosial dan seks.

Imam al-Ghazali menjelaskan tiga perkara yang perlu direbut melalui perkahwinan iaitu ketenangan, mendapat zuriat dan setiap perbelanjaan atau usaha yang ditanggung untuk keluarganya dianggap sebagai sedekah.

Institusi perkahwinan membentuk sebuah keluarga, mengandungi suami dan isteri, kemudian kelahiran anak-anak. Rasulullah gembira dan menggalakkan umatnya berkahwin serta mempunyai anak. Anak adalah sumber kegembiraan dan pelaburan untuk kebahagian di dunia serta akhirat.  

Anak adalah penerus kelangsungan agama. Melalui zuriat berterusan dari generasi ke generasi, maka penyebaran dan pengamalan agama akan berterusan hingga ke hari kiamat. Sebab itu Rasulullah menyuruh berkahwin dan mempunyai anak. 

Sebab itu Rasulullah sering menegaskan bahawa berkahwin dan mempunyai anak pinak adalah sunahnya. Setiap apa yang dilakukan berkaitan hidup rumah tangga dikira ibadah dan sedekah. Mencari rezeki untuk isteri dan keluarga dikira fisabilillah.   

Justeru, baginda menganggap mereka yang sengaja tidak mahu berkahwin tanpa alasan syarie sebagai bukan di kalangan umatnya. Rasulullah bersabda bermaksud: “Barangsiapa tidak menyukai sunnahku, dia bukan daripadaku (umatku). Berkahwin adalah sunnahku kerana itu siapa mengasihiku, hendaklah dia melaksanakan sunahku.” (Hadis Ahmad). 

Bagainda pernah melahirkan rasa sedih apabila mengetahui seorang sahabat meninggal dunia ketika masih bujang. Sahabat itu dikatakan mendapat kurang martabatnya di sisi Allah, biarpun semasa hayatnya dia tergolong mereka yang kuat beribadat dan taat kepada perintah Allah dan Rasulullah.

Ibnu Masud pernah berkata bahawa sekiranya isterinya meninggal dunia, dan dia mempunyai sepuluh hari untuk hidup, dia akan berkahwin kerana tidak mahu mati dalam keadaan bujang.  

Rasulullah pernah menyatakan kepada seorang sahabat yang tidak berkahwin sebagai termasuk saudara syaitan dan mengikut pendeta (paderi) Nasrani. Maka Rasulullah terus menyuruhnya agar bersegera berkahwin dan bersama-sama sebahagian daripada saudara Islam.

Allah menurunkan ayat al-Quran menjawab mengenai sikap sesetengah orang yang tidak mahu berkahwin. Pada zaman Rasulullah ada pada sahabat tidak mahu berkahwin kerana ingin memberi tumpuan sepenuhnya beribadat kepada Allah. Mereka tidak mahu berkahwin kerana apabila ada isteri, banyak masa dihabiskan bersama isteri dan menyebabkan lalai daripada memperbanyakan ibadah.

Sebenarnya berkahwin dianggap satu jalan memudahkan kehidupan. Orang berkahwin mendapat balasan kebaikan yang banyak kerana digandakan dan ditambah dengan rahmat Allah setiap amalan dilakukan. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila seorang isteri mendirikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, memelihara kehormatan serta menutup aurat dan taat kepada suami, lebih berhak baginya masuk ke syurga dari sebarang pintu yang dia kehendaki.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Ini bermakna umat Islam ‘wajib’ berkahwin agar tergolong sebagai umat Rasulullah di akhirat. Umat Rasulullah mempunyai banyak kelebihan di akhirat berbanding umat-umat nabi lain. Antara kelebihan umat Rasulullah ialah awal dihisab sebelum umat lain. Selain itu syafaat Rasulullah amat besar maknanya. 

Hakikatnya, walaupun perkahwinan amat digalakkan, ia masih terikat dengan hukum harus, wajib dan haram. Harus berkahwin apabila seseorang mempunyai kemampuan dan kehendak seks yang normal. Hukumnya berpindah menjadi wajib sekiranya mempunyai kemampuan seks yang tinggi dan boleh terjebak dalam maksiat jika tidak berkahwin. 

Manakala haram berkahwin jika mempunyai niat untuk menzalimi pasangan atau diketahui akan berlaku sesuatu musibah seperti jangkitan penyakit bahaya akibat perkahwinan itu.

Ganjaran dan janji kebaikan disediakan bagi umat merelisasikan perkahwinan kerana ia bukan perkara kecil. Tanggungjawab dalam perkahwinan amat besar. Sebab itu tidak boleh dilakukan terburu-buru. 

Lelaki dan perempuan yang bersetuju membentuk ikatan perkahwinan secara mutlaknya telah bersetuju menjalankan amanah dan tanggungjawab antara suami dan isteri. Suami dan isteri mempunyai tanggungjawab masing-masing. 

Lelaki sebagai suami mempunyai tanggungjawab lebih berat berbanding perempuan sebagai isteri. Suami menjadi pemimpin rumahtangga dan bertanggungjawab menyediakan nafkah keperluan bagi isteri dan keluarga. 

Justeru, suami diingatkan agar menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab. Kesediaan menjadi suami bermakna bersedia menjalankan tanggungjawab. Tanggungjawab adalah amanah yang bukan sekadar antara isteri, tetapi terhadap Allah. 

Perkahwinan tidak boleh dilangsungkan dengan ambil mudah dan mengikut hawa nafsu semata-mata. Banyak syarat dan persiapan praperkahwinan perlu diambil kira sebelum melangsungkan perkahwinan.

Perkara pertama perlu diambil kira ialah jodoh sesuai dijadikan pasangan. Ikatan perkahwinan merupakan perkongsian hidup dalam segenap segi sehingga ke akhir hayat. Justeru, soal memilih pasangan perlu teliti dan mengambil kira segenap aspek.

Ramai pasangan ‘serasi’ tetapi belum tiba masa sesuai untuk memasuki gerbang perkahwinan disebabkan beberapa halangan.

Halangan pertama dihadapi ialah takrif usia yang masih terlalu muda. Walaupun secara seksualnya mereka ‘mampu’ berkahwin, tetapi belum sesuai disebabkan masih belajar, tiada pekerjaan dan cinta monyet. 

Ramai pasangan muda masih bawah tanggungan ibu bapa tanpa sebarang pekerjaan telah merancang untuk berkahwin. Mereka merancang berkahwin bukan atas kesedaran agama, tetapi sekadar memenuhi tuntutan nafsu. 

Sekiranya perkahwinan diteruskan akan menimbulkan masalah kepada pasangan dan keluarga kedua-dua pihak. Ramai pasangan suami isteri bercerai setelah beberapa tahun mendirikan rumahtangga disebabkan tidak dapat menyelesaikan masalah yang timbul disebabkan perkahwinan tergesa-gesa itu. 

Mereka yang belum berkahwin hendaklah bersegera berkahwin dan jangan takut dengan cabaran perkahwinan. Sekiranya takut menampuh alam perkahwinan disebabkan ngeri dengan pengalaman kegagalan perkahwinan melibatkan ibu, saudara dan rakan-rakan, anggaplah sebagai satu peringatan bagi lebih berhati-hati dan bersedia menghadapi cabaran berumahtangga.

No comments:

Post a Comment