Sunday 1 March 2020

TAIMIYAH TOLAK TEORI PEMERINTAHAN KHALIFAH

Teori Ibnu Taimiyah tentang pemerintahan negara menolak teori khilafah. Pendapatnya berdasarkan bahawa kekhalifahan tidak mempunyai asas yang bersumberkan dari Al-Quran.

Memang benar Al-Quran secara khusus menjelaskan keperluan terhadap pemerintahan dan kekuasaan, tetapi tidak memaparkan secara tepat mengenai bentuk pemerintahan Islam. Al-Quran dan As-Sunnah tidak menyatakan secara jelas bahawa pemerintahan negara perlu mengikut bentuk khilafah.

Dengan penolakan tersebut, Ibnu Taimiyah membuka ruang pilihan sistem pemerintahan bahawa apa yang penting ialah pilihan berdasarkan kepada apa yang menepati syariat dan tidak semestinya mengikut bentuk khalifah.

Tidak dinafikan corak pemerintahan khalifah menepati syariat, tetapi tidak sepatutnya dilihat hanya satu-satu corak pemerintahan yang dibenarkan dalam Islam.

Dalam Islam, negara memiliki peranan penting (instrumental) untuk meraih tujuan-tujuan syariat, sebagaimana terungkap dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Ibnu Taimiyah menghendaki terwujudnya pemerintahan yang menitikberatkan pada asas perundangan, kerjasama dan hubungan perjanjian melalui proses pemilihan pemimpin.

Ada pertanyaan apakah sistem politik dan kenegaraan yang disebut oleh Ibnu Taimiyah masih relevan dengan keadaan sosial-politik sekarang? Kebanyakan ilmuan berpendapat apa yang disebut oleh Ibnu Taimiyah masih relevan dan bahkan menjadi acuan kepada para negarawan untuk membangun sebuah pemerintahan.

Dengan berlandaskan keinginan rakyat dan memberikan rakyat ruang untuk mengambil bahagian dalam politik yang menjadi asas kepada sistem demokrasi yang menjadi teras pemerintahan di kebanyakan negara.

Pemikiran Ibnu Taimiyah yang menolak sistem kepemimpinan Khilafah dan Imamah adalah satu pembaharuan kepada sistem pemerintahan awal Islam. Melalui sistem demokrasi meletakkan rakyat sebagai 'subjek' dan bukan hanya sebagai 'objek'.

Apakah sistem pemerintahan Ibnu Taimiyah dapat dikatakan teokrasi (sistem kerajaan yang meng­gunakan hukum-hukum agama sebagai dasar peme­rintahan negara)? Pertanyaan tersebut dapat dijawab bahawa sistem pemerintahan Ibnu Taimiyah bukanlah sistem teokrasi.

Dalam sistem teokrasi mengakui Tuhan sebagai penguasa yang sebenarnya dan hukum-Nya ditetapkan sebagai hukum berkaitan tugas manusia sebagai khalifah di muka bumi.  

Justeru, dapat dikatakan bahawa sistem pemerintahan diperjuangkan Ibnu Taimiyah bersifat monokratik. Sistem yang monokratik bererti bahwa pemerintahan yang berkuasa merupakan hukum tertinggi yang menggantikan segala bentuk kekuasaan lain.

Menurut Ibnu Taimiyah, memandangkan pemerintah adalah mempunyai kekuasaan tertinggi dalam pemerintahannya, maka adalah tanggungjawab pemerintah untuk menjalankan hukum syariat dalam pemerintahannya.

No comments:

Post a Comment