Wednesday 21 July 2021

KHASIAT CENDAWAN, HERBA BERGUNA UNTUK MANUSIA

 
Cendawan menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka ialah: Beberapa jenis tumbuh-tumbuhan tidak berdaun dan tidak berakar serta cepat membiak (setengah-setengahnya dapat dimakan).

Ia merupakan ialah sejenis kulat yang tumbuh di atas tanah atau sumber nutriennya. Cendawan yang dikenali ramai ialah cendawan butang (Agaricus bisporus), yang berbatang pendek dan bahagian atasnya berbentuk payung atau cuping. Namun banyak lagi cendawan yang berbentuk lain.

Cendawan turut diiktiraf sebagai herba yang berguna pada manusia. Sesetengahnya tumbuh meliar manakala sesetengah lagi ditanam oleh manusia sebagai makanan serta untuk perubatan.

Kajian mendapati cendawan boleh mengurangkan kandungan gula dan menambah insulin di dalam darah, membunuh beberapa jenis virus yang membawa penyakit berjangkit dan turut berperanan sebagai agen mempertahankan badan dari serangan barah. Terdapat juga cendawan yang beracun.

Cendawan boleh digunakan secara segar seperti dimakan sebagai sayur. Selain itu pada masa sekarang kebanyakan cendawan ini telah dijadikan serbuk didalam bentuk kapsul. Ini untuk memudahkan para pengguna kerana cendawan yang segar agak terhad di dalam pasaran.

Cendawan mempunyai banyak jenis. Ada yang boleh dimakan dan ada yang tidak boleh dimakan. Antara negara pengeksport cendawan terbesar di dunia adalah China dan sebahagian negara Eropah. Di Malaysia juga mempunyai banyak cendawan sama ada ditanam atau yang masih wujud di hutan.

Cendawan juga merupakan organisma yang amat berguna sebagai makanan dan mempunyai kandungan protein yang tinggi dan rendah kolestrol. Cendawan mempunyai manfaat unik bagi mereka yang menjalani rawatan konvensional kanser kerana selamat digunakan bersama-sama dengan perubatan moden.

Terdapat banyak perubatan herba yang tidak diterima oleh doktor kerana berkemungkinan interaksi dengan ubat, tetapi penggunaan cendawan ini dianggap selamat dan telah digunakan oleh doktor sebagai rawatan tambahan di Barat.

Coriolus versicolor merupakan cendawan yang paling banyak dikaji untuk menyokong kegunaannya ke atas kanser dan telah digunakan untuk terapi kanser di China dan Jepun. Pada lewat 1980-an jualan Coriolus di Jepun dianggarkan berjumlah AS$600 juta (RM2.884 bilion).

Dua ekstrak daripada Coriolus versicolor telah diuji secara mendalam di China dan Jepun dan didapati mampu meningkatkan jangka hayat penghidap kanser payudara, paru-paru, perut, usus dan nasofarinks.

Kini, cendawan ini digunakan secara meluas untuk menyokong sistem imuniti badan dalam pengawalan kanser. Rawatan radioterapi dan kemoterapi akan melemahkan sistem imuniti badan dan pengambilan cendawan membantu keberkesanan rawatan, mengurangkan kesan sampingan serta menyokong sistem imun.

Cendawan sememangnya mempunyai banyak khasiat dan nilai perubatan seperti jenis telinga kera dapat membantu merawat gangguan kardiovaskular dengan mencairkan darah beku, mengawal atur tekanan darah, merendahkan tahap kolesterol dan lipid, agen antioksida, melindungi DNA dan membantu mengurangkan berat badan.

Schizophyllum commune atau cendawan kukur pula mengandungi Schizophyllan iaitu bahan dalam ubat antitumor dan kanser dapat membantu meningkatkan sistem imuniti tubuh; anti-radangan, anti bakteria, anti parasit dan melindungi hati.

No comments:

Post a Comment