Friday 20 May 2022

PERKASAKAN KEDUDUKAN BAHASA MELAYU

 
Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi Persekutuan iaitu selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaa 1963/1966 (Akta 32).

Raja-raja Melayu sejak mesyuarat Durbar pada 1903, telah membangkitkan soal pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Semasa menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957, Raja-Raja Melayu telah menetapkan tujuh wasiat, salah satu daripadanya menyentuh soal bahasa iaitu; “Kami tetapkan Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu.”

Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra telah memberikan jaminan dalam perhimpunan rakyat melafazkan Ikrar Bahasa Kebangsaan, pada 22 Julai 1961 dengan menyatakan “….Saya bagi pihak Kerajaan Perikatan suka mengambil peluang ini untuk membuat penga­kuan bahawa selagi kami, meme­gang kuasa pemerintahan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, maka kami tidak akan undur setapak pun untuk mempertahankan Bahasa Kebangsaan yang tunggal, bagi negeri ini dan untuk melaksanakan pemakaiannya dengan sepenuh-penuhnya, manakala sampai tempoh yang telah ditentukan oleh Perlembagaan.”

Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein semasa berucap pada pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan di Klang pada 1966, turut mengesahkan komitmen bahawa bahasa kebangsaan juga akan menjadi bahasa rasmi yang tunggal di negara ini.

Perkara 152. Bahasa kebangsaan.
(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:

Dengan syarat bahawa—
(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain
bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan
(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan
atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

(2) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari
Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, bahasa
Inggeris boleh digunakan di dalam kedua-dua Majlis Parlimen, di dalam Dewan
Undangan tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain.

(3) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari
Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, teks sahih—

(a) segala Rang Undang-Undang yang hendak dibawa atau pindaan kepadanya
yang hendak dicadangkan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen; dan

(b) segala Akta Parlimen dan segala perundangan subsidiari yang dikeluarkan
oleh Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(4) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari
Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala
prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dalam bahasa Inggeris:

Dengan syarat bahawa, jika Mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak perlu diterjemahkan ke dalam atau direkodkan dalam bahasa Inggeris.

(5) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam mahkamah rendah, selain pengambilan keterangan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(6) Dalam Perkara ini, "maksud rasmi" ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.

No comments:

Post a Comment