Thursday 2 June 2022

CARA MEMANDU ORANG BERIMAN

 
Memandu menempuh perjalanan jauh yang mengambil lama memang amat mencabar. Bagi perantau, setiap musim cuti perayaan dan cuti, mereka berdepan situasi itu dengan perasaan amat membebankan.

Bayangkan, masa perjalanan bertambah sehingga sekali ganda, bahkan lebih dari itu apabila masalah kesesakan lalu lintas yang amat teruk.

Disebabkan situasi itu, ada pengguna jalan raya tidak sabar sehingga melakukan perbuatan menyalahi undang-undang jalan raya seperti memasuki lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, melanggar lampu merah dan sebagainya.

Umat Islam dinasihat mematuhi peraturan jalan raya bagi menjadikan perjalanan mereka sebagai ibadah yang besar ganjarannya selain mengelakkan berlaku kemalangan.

Islam menuntut umatnya mematuhi peraturan dan undang-undang yang diwujudkan oleh pemerintah termasuk yang berkaitan dengan jalan raya.

Mematuhi peraturan-peraturan jalan raya itu adalah satu daripada rangkaian sifat Ubudiyah (perhambaan diri kepada Allah SWT).

Firman Allah SWT yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan taatlah kamu kepada "Uli al-Amri" (pemerintah) dari kalangan kamu." (Surah An Nisa ayat 59).

Pemerintah membuat peraturan berdasarkan kepada kemaslahatan (kepentingan) rakyat dan melanggar peraturan itu sebenarnya melanggar syarak dan melanggar undang-undang akhirat.

Kalau masing-masing menyedari bahawa mereka diawasi oleh Allah SWT, mereka diawasi oleh peraturan-peraturan Allah, salah satu kehendak syarak ialah kita mematuhi dan taat kepada peraturan yang dibuat oleh pemerintah.

Jadi memandulah dengan berhemah, memandulah dengan cermat kerana perbuatan itu adalah dalam bingkai Ubudiyah. Dalam Islam sudah lengkap iaitu ada peraturan dan ada kaedah-kaedahnya untuk umat mematuhinya.

No comments:

Post a Comment