Friday 30 June 2023

APA HASIL UMNO BEKERJASAMA DENGAN DAP

 
Tentu semua orang yang mengikuti perkembangan politik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak lupa gambar beliau melafazkan slogan membawa parti yang beliau ketuai menempuh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berbunyi “NO ANWAR, NO DAP, NO PKR, NO PPBM”.
 
Setelah keputusan PRU15 diumumkan dan BN kalah, Zahid melakukan sebaliknya. Zahid bertindak memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim terlantik menjadi Perdana Menteri (PM).
 
Keputusan PRU-15 mencatatkan sejarah apabila tiada parti mahupun gabungan parti berdaftar dapat membentuk kerajaan. Berlaku ‘tipu muslihat’ perebutan antara bakal kerajaan PN atau kerajaan PH yang tiba tiba ditentukan oleh UMNO.
 
Kemelut kerajaan tergantung tanpa dapat dibentuk kerajaan baharu membawa kepada titah Yang DiPertuan Agong agar dibentuk Kerajaan Perpaduan.
 
Di sini peranan Ahmad Zahid penentu kepada penyelesaian kemelut. Tindakan beliau itu membangkitkan sedikit ‘kegemparan’ di kalangan pemimpin UMNO dan membawa kepada akar umbi apabila menerima kerjasama dengan Anwar, DAP dan PKR serentak yang sebelum ini dizahirkan sebagai musuh utama politik. Tiada bersama dalam senarai adalah PPBM.
 
Rupanya beliau seorang pemain politik yang sangat cekap, kerana dengan sekelip mata suara bising itu dapat beliau padam. Tidak sedikit yang mahu “memberontak” dan meninggalkan perjuangan bersamanya, kembali tenang dan menurut ketentuan apa yang ditetapkan olehnya.
 
Zahid tampil memenangi kegemparan dalaman itu. Suara di luar UMNO yang masih sehingga sekarang berbincang mengenai kemungkaran Zahid terhadap partinya semakin berkurangan apabila propaganda untuk mempengaruhi agar berlaku “huru-hara” dalam parti tidak berterusan.
 
Kini UMNO semakin kukuh. Sokongan terhadap Ahmad Zahid tidak berkurangan sebagai presiden setelah menang tanpa bertanding untuk mengekalkan jawatan bagi Penggal 2023-2026.
 
Mungkin tidak banyak ahli yang mengangkatnya sebagai “wira” membawa UMNO menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan, tetapi tentu banyak yang semakin yakin bahawa apa yang dilakukan olehnya banyak memberi kebaikan kepada UMNO, Melayu dan Islam.
 
Ahmad Zahid percaya dan dengan ada alasan bahawa yang telah dilakukan itu ialah untuk UMNO terus hidup, dan hidup sihat bukan hidup dalam sakit yang nazak.
 
Zahid menimbang. Bersama PN atau bersama PH. Bilangan kerusi BN sedikit tetapi amat diperlukan semua pihak.
 
PN seperti tidak mengalu alukan BN. PN seperti sedia menjadi pembangkang daripada bersama BN yang banyak menyulitkan PN semasa bersama dalam kerajaan sebelumnya.
 
Idea mempercepatkan PRU pun bukan idea PN tetapi terpaksa akur kerana tekanan UMNO.
 
Berbanding PH, nyata sekali Anwar mengalu-alukan dan dapat pula mengamankan sekutu dalam PH yang bukan calang calang pendirian mereka dulu menolak BN. Mungkin orang PN kata biar UMNO jadi luncai terjun laut dengan labu-labunya. Orang Melayu akan tolak UMNO habis ke laut kerana sanggup duduk serumah dengan DAP.
 
Itu belum tentu. Jika BN bertanding PRU-16 dengan kekal penyokong Melayu taasub campur dengan kembalinya sokongan Cina dari DAP dan Keadilan, mungkin gambarnya lain pula. 
 
Dalam keadaan itu, tentu Ahmad Zahid berfikir lebih baik bersama dengan pihak yang dimusuhi sebelum itu, tetapi kelihatan menerima dan mengalu-alukan, berbanding dengan yang pernah menjadi rakan sebelum itu, tetapi tiada ikhlas dalam persahabatan.
 
Kekuatan UMNO kelihatan lebih terjamin kedudukannya dan dialu-alukan jika bersama dengan PH walaupun sebelumnya adalah musuh yang dilaungkan berulang kali tidak akan sekali-kali bersama-samanya.  
 
UMNO tetap kuat dalam agenda Ahmad Zahid. Melalui Ahmad Zahid UMNO dijanjikan layanan baik dengan tawaran menduduki kabinet di jawatan penting, termasuk sebagai Timbalan Perdana Menteri.
 
Dengan penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO mampu berperanan sebagai “pengawal” daripada “kerakusan” DAP yang dinggap “ganas” ketika parti itu bersama PKR dan PPBM memerintah selama 22 bulan pasca PRU-14.
 
DAP sekarang ini dilihat lebih “jinak” dan bersedia menerima apa yang dipinta oleh UMNO. Itu satu kejayaan besar. Bukan senang untuk mengawal cita-cita DAP yang mempunyai banyak agenda yang diperjuangkan selama ini.
 
Berada dalam kabinet memungkinkan UMNO mendapat kebebasan bergerak, terus mendapat sinaran lampu serta ada peranan memberi khidmat awam. Melaluinya orang UMNO kekal disebut sebut, tidak dilupakan.
 
Seperti orang bermain saham, sama ada keluar terus dari pasaran setelah menanggung kerugian atau kekal dalam pasaran selagi ada sedikit peluang dengan harapan memperoleh 'recovery'. Itu cara berfikir praktikal Ahmad Zahid.
 
Berada di dalam kabinet memungkin UMNO ada ruang dan peluang untuk menyusun semula kekuatan, bermuhasabah dan merancang masa depan berbanding gopoh gapah keluar membawa diri sehelai sepinggang setelah hilang segala-galanya.
 
Penjelasan demi penjelasan yang dibuat kepimpinan UMNO mengenai rasional bergabung dengan PKR, Amanah dan DAP, berjaya meraih kembali keyakinan ahli akar umbi tentangnya. Ahmad Zahid berjaya menahan segala bentuk serangan dengan tenang dan mengelak keadaan lebih buruk. UMNO terus bertahan dalam gelombang politik mengganas.

No comments:

Post a Comment