Friday, 30 December 2016

JIHAD PULIH IMEJ ISLAM

Umat Islam diasak dan dicemuh dari segenap penjuru di seluruh dunia. Di Malaysia, penganut Islam yang majoritinya berbangsa Melayu sering menarima tekanan dari segi ekonomi mahupun politik.

Biarpun Islam di Malaysia agak bernasib baik disebabkan peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Malaysia yang meletak Islam sebagai agama Persekutuan dan diperkuatkan pula dengan Perkara 11 yang melarang agama lain disebarkan kepada penganut agama Islam, serta Perkara 153 berkaitan kedudukan istimewa orang Melayu dan kedudukan kuasa Majlis Raja-raja berkaitan agama Islam seperti termaktub dalam Perkara 38. 

Satu perkara utama perlu dilakukan untuk memulihkan kedudukan penganut Islam ialah melalui perpaduan. Islam akan lebih kuat dan dihormati jika bersatu. Begitu juga dalam soal ekonomi. Umat Islam perlu meningkatkan jihad untuk meningkatkan kedudukan ekonomi. 

Dan, satu pekara yang amat penting sekarang ini ialah jihad ilmu. Ilmu bawa kejayaan dan kecemerlangan. Umat Islam pada zaman kegemilangan dahulu amat mementingkan tadabbur (kaji-selidik) yang melahirkan pengetahuan baru. Lantaran itu banyak sarjana Islam mampu melahirkan karya besar yang diterima pakai di seluruh dunia. 

Kitab Qanun Fit Tib (Tatacara Perubatan) karya Ibnu Sina diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa yang dijadikan rujukan utama pakar perubatan di Barat. Ibnu Sina adalah bapa perubatan moden. 

Dalam bidang matematik kita berbangga dengan ketokohan al-Khawarizmi yang memperkenalkan konsep angka sifar bagi mengukuhkan perkembangan dan penggunaan angka. Beliau juga terkenal sebagai memperkenalkan konsep algebra dan alogaritham yang menjadikan matematik lebih berguna untuk perkembangan sains dan teknologi.

Umat Islam perlu bangkit cemerlang dan menghayati kecemerlangan seperti dicapai oleh sarjana Islam terdahulu. Fitrah manusia memerlukan inspirasi daripada kejayaan-kejayaan orang terdahulu untuk dijadikan contoh. 

Islam telah menggariskan panduan bagi menjana dan bangkit cemerlang umatnya. Perkara pokok perlu dihayati setiap Muslim ialah ikhlas dalam setiap apa dilakukan. Persoalan ini berkaitan dengan takwa dan tauhid yang menghubungkan manusia dengan Maha Pencipta. 

Sebagai khalifah yang ditugaskan memakmurkan alam ini, manusia perlu berusaha gigih bangkit cemerlang mendapatkan apa dijanjikan Allah di atas apa dilakukan. 

Firman Allah yang bermaksud: “Dia (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di dunia.” (Surah al-Baqarah, ayat 29). 

Segala penciptaan Allah adalah untuk manusia merasa lebih bertakwa dan mempunyai minat untuk mengkaji serta mendapat manfaatnya. 

Dalam al-Quran banyak menghuraikan mengenai asas ilmu yang masih belum terjawab sepenuhnya. Sebab itu Islam menggalakkan agar mengkaji tentang penciptaan alam dan seluruh sistem yang berkaitan.

Firman-Nya dalam surah adz-Zariyat ayat 20 yang bermaksud: “Dan di bumi ini terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin.”

Kekuatan Barat masa kini berasaskan kepada perkembangan ilmu dan teknologi tinggi yang wajud hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berterusan. Kejayaan dan penemuan tidak terhenti pada satu tahap, tetapi diteruskan tanpa henti.

Ilmu di tangan orang kafir menyebabkan mereka semakin angkuh dan bertindak keterlaluan. Masyarakat Barat kini menggunakan kecanggihan persenjataan dan kuasa yang dimiliki untuk memusnahkan sesama manusia dan alam.

Usaha ilmuan Islam bukan sekadar mencipta kejayaan  Apa yang penting ia membawa kebaikan kepada seluruh manusia.  Setiap Muslim melakukan kebaikan untuk dikongsikan seluruh makhluk.

Umat Islam perlu berusaha bangkit cemerlang mengulangi kecemerlangan dulu dengan lebih hebat lagi. Kita harap dapat melahirkan kembali tokoh ilmuan seperti Ibnu Rushd, Ibnu Sina, al-Farabi, al-Khawarizmi dan ramai lagi yang membawa era kecemerlangan ilmu dan tamadun Islam. 

Paling akhir Islam dianggap masih berkuasa ialah semasa Empayar Othmaniah. Kerajaan yang berpusat di Turki itu hilang kuasa terhadap tanah jajahannya kepada kuasa-kuasa Barat pada awal 1900. Selepas itu tiada negara Islam mampu menonjol biarpun mengiystiharkan sebagai negara Islam progresif.

Umat Islam perlu mendalami semua cabang ilmu untuk bangkit cemerlang bersaing dengan penganut agama lain. Cabang ilmu bukan sekadar mempelajari soal perlaksanaan ibadat khusus semata-mata. Semua ilmu berkaitan dengan kehidupan di dunia ini perlu ada individu Islam mempelajarinya sebagai satu fardu kifayah.

Umat Islam perlu jihad ilmu untuk kembali bangkit cemerlang menguasai dunia dan kembali dihormati serta mengelak diri terus ditindas dan menjadi barua, belaci kepada bukan Islam.

Selain itu, Islam perlu utamakan perpaduan dan saling bantu sesama Islam, bukannya menjatuhkan sesama Islam. Bersatu bangkit cemerlang membina kegemilangan Islam. Pulih kembali imej umat Islam dan raih keredaan Allah.

No comments:

Post a Comment