Seorang fasilitator memerlukan ciri-ciri kepimpinan akauntabiliti, etika dan kualiti yang unggul bagi memastikan dapat menjalankan tugas kefasilitatoran dengan baik dan mencapai matlamat, memuaskan hati pelanggan dan tidak membawa kesan yang buruk.
Justeru, seorang fasilitator perlu benar-benar memahami tugas dan tanggungjawab yang mesti dilakukan. Kegagalan menghayati tugas akan menyebabkan fasilitator bukan sahaja gagal mencapai keinginan pelanggan, bahkan mungkin juga akan memberi kesan yang lebih buruk berbanding sebelumnya.
1. AKAUNTABILITI
Seorang fasilitator mempunyai tanggungjawab yang besar. Ia tidak terhad ketika menjalankan tugas kaunseling, tetapi juga sebelum dan selepas proses yang berkaitan.
Fasilitator atau kaunselor boleh mempromosikan khidmat yang disediakan. Ia boleh dianggap satu tugas profesional yang menawarkan khidmat kepakaran kepada masyarakat umum. Justeru, promosi itu melibatkan beberapa perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan yang ditawarkan.
Promosi itu boleh dibuat melalui iklan di media massa, media elektronik, poster dan apa-apa medium yang bersesuaian. Iklan itu bertujuan menghebahkan mengenai pengalaman, tahap pendidikan, kelompok sasaran, bayaran dan beberapa ketetapan lain mengenai perkhidmatan itu.
Perkhidmatan yang ditawarkan perlu dilihat kewajarannya dan dilaksanakan dengan adil, jujur dan beretika atas tujuan membantu pelanggan dan bukan mencari keuntungan semata-mata.
Kandungan promosi itu mesti dibuat dengan penuh tanggungjawab dan menepati garis panduan sebagai seorang kaunselor. Keinginan mendapat pelanggan sering kali menyebabkan ada individu bersikap keterlaluan dalam mempromosikan khidmat yang disediakan.
Biarpun secara konsepnya promosi bertujuan memberi keuntungan kepada kaunselor, namun hakikatnya ia juga bertujuan memberi kebaikan kepada masyarakat keseluruhannya.
Masyarakat yang mengetahui mengenai wujudnya perkhidmatan dan kebaikan kaunseling akan tertarik mengikutinya, atau setidak-tidaknya memahami keperluan kaunseling kepada kehidupan manusia. Ia mendedahkan masyarakat kepada kepentingan kesihatan mental dan kestabilan emosi.
Jika telah mendapat pelanggan, kaunselor mesti melaksanakan tanggungjawab itu sehingga selesai. Menamatkan khidmatan tanpa persetujuan pelanggan adalah menyalahi etika dan tanggungjawab kerana ia mungkin mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada pelanggan. Ia juga bertujuan menjada kebajikan pelanggan.
Sekiranya pelanggan setuju melepaskan kaunselor daripada tanggungjawabnya, dan memerlukan khidmat kaunselor lain, adalah menjadi tanggungjawab kaunselor asal membantu proses pemindahan itu.
Dalam menjalankan tugas, salah satu perkara yang penting dilakukan ialah penyimpanan rekod bagi tujuan rujukan susulan. Perkara ini menjadi lebih penting jika kaunselor itu mempunyai pelanggan yang ramai. Tentulah sukar untuknya mengingati semua perkara berkaitan pelanggannya melainkan ada rekod yang lengkap.
Rekod maklumat yang disimpan perlu releven dengan keadaan, sesi dan perjalanan perkhidmatan, maklumat pelanggan, masa dan tarikh sesi, jenis perkhidmatan, yuran dan beberapa maklumat lain mengenai pelanggan. Rekod ini bukan sahaja untuk melancarkan proses perjalanan kaunseling, tetapi juga untuk membantu kaunselor jika berdepan dengan tindakan lembaga disiplin, saman undang-undang dan pertanyaan pihak ketiga.
Aspek rekod yang perlu diteliti ialah kerahsiaan, jenis rekod, penyimpanan rekod, pelupusan rekod dan nilai rekod. Biarpun rekod adalah hak milik kaunselor, pelanggan juga berhak untuk meneliti kandungan rekod itu untuk mengelak ketidak selesaan pelanggan. Apa yang dicatatkan itu adalah mengenai dirinya dan perjalanan proses kaunseling, jadi adalah menjadi hak pelanggan untuk mengetahuinya.
Dalam menjalankan tugasnya, adalah amat penting bagi kaunselor berkerjasama dengan pakar terapi lain sekiranya ia adalah sebahagian daripada terapi yang diperlukan. Sebarang cadangan pihak terapi lain perlu dihormati dan diterima dengan hati terbuka.
Kaunselor perlu sentiasa melayan pelanggan dengan baik dan profesional walaupun dia merupakan rujukan pihak lain.
2. KUALITI
Kualiti menjadi teras kepada penilaian apa-apa yang berkaitan kehidupan manusia. Justeru, manusia dan kualiti tidak dapat dipisahkan. Kualitilah yang menjadi nilai seseorang individu.
Untuk mendapat kualiti yang terbaik memerlukan setiap orang melaksanakan tanggungjawab dengan penuh ikhlas, teliti, tahap tertinggi dan berkesan. Antara nilai yang menentukan kualiti fasilitator ialah:
a. Jujur.
b. Terbuka dan senang didekati.
c. Intergriti.
d. Bersemangat.
e. Kepimpinan melalui tauladan.
f. Komunikasi berkesan.
g.Yakin.
h. Berpandangan jauh.
i. Boleh menerima perubahan.
3. ETIKA
Etika adalah satu panduan untuk tindakan berdasarkan nilai-nilai yang biasa dipegang dan dihargai oleh masyarakat. Kaitan etika dalam kelompok ialah satu panduan atau kebiasan yang diterima oleh pengamal-pengamal kerja kelompok ketika menjalankan aktiviti kelompok secara profesional.
Etika penting diamalkan bagi melindungi hak-hak ahli kelompok supaya tidak dipergunakan untuk tujuan-tujuan tidak baik. Apabila etika dipatuhi, ahli kelompok mendapat faedah melalui interaksi kerja kelompok.
Etika juga penting untuk mengelak ahli daripada memanipulasi, memperdaya dan menjadi mengsa kepada keadaan yang mana mereka tidak dilindungi seperti sepatutnya.
Bagi menjamin setiap fasilitator berpegang kepada etika, beberapa prasyarat perlu dipatuhi:
1. Fasilitator wajar mempunyai latihan dan pengalaman yang diperlukan dan sesuai mengikut jenis kelompok yang dikendalikan.
2. Fasilitator juga perlu membuat definisi yang jelas tentang tujuan dan matlamat sesuatu sesi kelompok diadakan dan seterusnya memilih kaedah-kaedah yang sesuai untuk mencapai tujuan dan matlamat tersebut.
3. Fasilitator harus mempunyai latihan yang cukup dalam teori dan prosedur kaunseling, dan sedar tentang kean yang berbagai-bagai yang mungkin timbul daripada proses dan prosedur kaunseling.
4. Sebelum sesi kelompok diadakan, fasilitator perlu memaklumkan kepada ahli-ahli kelompok tentang prosedur dan matlamat sesi kelompok, jangkaan terhadap ahli-ahli, kemungkinan resiko psikologi yang timbul, dan lain-lain yang mungkin boleh mempengaruhi ahli dalam membuat sesuatu keputusan kelak.
5. Ahli-ahli kelompok harus diberitahu bahawa mereka mempunyai kebebasan untuk memilih alternatif yang berjaya dikenal pasti, untuk berfikir dan untuk mengalami sebarang perasaan yang mungkin akan dilaluinya nanti sepanjang melalui proses kelompok.
6. Kepentingan keahsiaan perlu ditekankan kepada ahli-ahli kelompok sebelum sesi kelompok dimulakan, dan ia merupakan tanggungjawab kedua-dua belah pihak untuk menjaganya.
7. Fasilitator harus waspada tentang tanda kelemahan psikologi ahli-ahli semasa sesi kelompok sedang berjalan. Sekiranya wujud, ini menandakan bahawa ahli berkenaan perlu diberi perhatian secara individu luar daripada sesi kelompok.
8. Fasilitator harus berusaha menyakinkan ahli-ahli kelompoknya untuk mengadakan sesi lanjutan pada masa akan datang, sekiranya terdapat suatu isyarat bahawa ahli-ahli kelompok tadi perlu mengikuti sesi selanjutnya.
Sekiranya ketiga-tiga elemen berkaitan fasilitator iaitu akauntabiliti, etika dan kualiti dipenuhi, maka perjalanan kelompok akan berlangsung dengan jayanya sepertimana matlamat.
No comments:
Post a Comment